KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, sebagai membuka tirai menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung pada Isnin dan Selasa depan.
Mesyuarat peringkat tinggi itu dihadiri oleh wakil-wakil tetap ASEAN, Duta Besar Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik – Keselamatan ASEAN (APSC).
Jadual diteruskan dengan mesyuarat persediaan membabitkan Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China.
Prep-SOM merupakan mesyuarat penyelarasan utama yang diadakan sebelum Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) dan mesyuarat peringkat menteri atau sidang kemuncak.
Dalam mesyuarat itu, ia akan menyenaraikan semua butiran, sebelum berlangsung rundingan atau pengumuman rasmi.
Pada sebelah malamnya pegawai-pegawai kanan ASEAN dijadual menghadiri majlis makan malam, yang dihoskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin sebagai sebahagian daripada program rasmi sidang kemuncak itu di Estate Federal Hill, Bukit Damansara.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 merupakan peristiwa penting khususnya bagi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dengan menampilkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
Tema Kepengerusian ASEAN – Malaysia 2025 ialah ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, dua nilai utama berteraskan nilai Madani Malaysia, merangkumi nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan serta Ihsan.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.-UTUSAN