Media Perlis main peranan penting promosi Tahun Melawat Perlis - Utusan Malaysia

Media Perlis main peranan penting promosi Tahun Melawat Perlis

ASRUL Aimran Abd Jalil (tengah) bergambar bersama pengamal media Perlis pada majlis santai meraikan pengamal media Perlis bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengamal media di Perlis memainkan peranan penting dalam membantu mempromosikan pelancongan negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, antara faktor kejayaan menarik pelancong ke negeri ini juga adalah dengan bantuan dan promosi media.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) merakamkan penghargaan yang tinggi kepada semua media negeri ini dan berharap hubungan antara kedua-dua pihak akan terus berjalan baik.

“Alhamdulilah, dengan bantuan promosi daripada media, Tahun Melawat Perlis dapat menenuhi sasaran jumlah pelancong dan tempoh juga dipanjangkan sehingga tahun depan,” katanya pada majlis santai meraikan pengamal media Perlis bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) di sini hari ini.

Sementara itu, Asrul Aimran berkata, para wartawan dan pengamal media juga memainkan peranan cukup penting sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan berita yang tepat dan beretika sekali gus memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sahih.

Katanya, laporan media yang tepat dan beretika cukup penting bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih dan tidak mengelirukan.

Dalam masa sama, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pengamal media negeri ini yang banyak membantu menjernihkan kekeliruan dalam isu-isu semasa termasuk berkaitan pelaksanaan sistem parkir pintar yang kini sudah semakin diterima baik oleh masyarakat.

“Kita sangat hargai setiap berita dan laporan yang dikeluarkan. Pengamal media memainkan peranan yang baik supaya perkara keruh dapat dijernihkan,” katanya.

Asrul Aimran berkata, hubungan erat antara media Perlis dan kerajaan negeri ini akan terus diperkukuh demi kemajuan bersama.

“Pastikan hubungan sesama kita sentiasa erat demi kemajuan negeri ini,” katanya yang turut menyampaikan cenderahati kenangan kepada seorang jurukamera dari agensi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Badruddin Ramli yang ditukarkan ke Kedah bermula Jun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN