GUA MUSANG: Seorang lelaki yang hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihanyutkan arus deras Sungai Suma di Kuala Betis di sini, ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat Chan Chong Cheng, 51, ditemukan pada pukul 10.20 pagi oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melakukan cara menghilir bagi mengesan mangsa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemukan tersangkut di celahan kayu tumbang di dalam Sungai Suma kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas pacuan empat roda yang dipandunya hanyut ketika meredah arus deras Sungai Suma dekat Kuala Betis, Selasa lalu.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam, Chong Cheng bersama dua penumpang masing-masing warga Pakistan dan Bangladesh menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Prado dalam perjalanan ke Pos Bihai atas urusan kerja. – UTUSAN