Mayat kanak-kanak perempuan lemas dihanyut arus deras ditemukan

Mayat kanak-kanak perempuan lemas dihanyut arus deras ditemukan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan warga Rohingya berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras semalam, ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mayat mangsa dijumpai pada pukul 11.20 pagi di Sungai Kerayong, Taman Cheras Indah, berhampiran sebuah stesen minyak.

Katanya, lokasi penemuan itu dianggarkan kira-kira enam kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam longkang semalam.

“Mayat mangsa akan dihantar ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 6.07 petang semalam, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menerima laporan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan terjatuh ke dalam longkang berhadapan Dewan MPAJ Kampung Cheras Baru.

“Ketika kejadian, dua kanak-kanak perempuan warga Rohingya dilaporkan terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat.

“Salah seorang mangsa berusia 10 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala seorang lagi berusia 11 tahun telah dihanyutkan arus dan gagal dikesan pada waktu tersebut,” tambahnya.

Usaha mencari dan menyelamat sepanjang laluan aliran air hingga Sungai Kerayong telah dijalankan melibatkan pelbagai agensi. Kes diklasifikasikan sebagai mati lemas dan tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN