PETALING JAYA: Dua mayat rakyat Singapura ditemukan di dalam sebuah inap desa dii Taman Taynton View, Cheras, dekat sini semalam.
Mayat kedua-dua individu itu yang masing-masing berusia 43 dan 33 tahun tersebut ditemukan terbaring di atas katil di dalam salah sebuah bilik pada pukul 12.53 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mayat tersebut ditemukan salah seorang pekerja inap desa berkenaan.
Kata beliau, kedua-dua individu berkenaan telah mendaftar masuk ke inap desa itu sejak 11 Mei lalu dan sepatutnya keluar semalam.
“Namun ketika pekerja inap desa itu ke kediaman tersebut, dia cuba membuka pintu bilik tetapi gagal kerana dihalang oleh pelekat di pintu.
“Pekerja inap desa itu kemudiannya membuka tingkap bilik dan terlihat kedua-dua mereka dalam keadaan terbaring di atas katil, tidak sedarkan diri serta keadaan di dalam bilik berbau busuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pekerja inap desa itu mendapati penyaman udara, kipas siling dan televisyen dalam keadaan terpasang di ruang tamu.
Aidil berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya ke atas kedua-dua mayat berkenaan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada bahagian badan serta tiada sebarang unsur jenayah ditemukan.
Kata beliau, mayat kedua-dua individu itu masih lengkap berpakaian namun mulai reput dan berbau.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar bilik homestay tersebut mendapati penghawa dingin telah dibalut dengan plastik sampah berwarna biru.
“Tingkap inap desa itu juga ditutup dengan plastik sampah berwarna biru ditampal dengan pita pelekat,” jelasnya.
Kata beliau, pemeriksaan juga mendapati terdapat pemanggang berbeku yang didalamnya terdapat sisa arang yang telah dibakar.
“Turut ditemukan dalam bilik berkenaan adalah dadah jenis ketamin di dalam piring. Inap desa terbabit juga tidak mempunyai televisyen litar tertutup (CCTV),” ujarnya.
Aidil berkata, mayat kedua-dua individu itu kemudiannya dibawa Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.
“Semakan lanjut, kedua-dua mereka didapati sudah lama tinggal di negara ini. Kita juga telah memohon bantuan pihak kedutaan Singapura bagi membantu kesan waris,” katanya.
Tambah beliau, kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN