KOTA TINGGI: Hasrat seorang anak mahu pulang bertemu ibu bapanya sempena Aidiladha tidak kesampaian apabila dia maut akibat terlanggar lembu dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Lok Heng-Mawai, malam tadi.
Ibu mangsa, Fatimah Abdullah, 65, memberitahu, Mohd. Azli Elias, 47, juga memaklumkan mahu membawanya dan suami, Elias Ismail, 81, ke rumah seorang lagi anaknya di Selangor.
Katanya, kali terakhir dia bertemu Allahyarham yang juga anak sulung pada awal Mac lalu sebelum bermulanya Ramadan.
“Waktu Aidilfitri, dia ada hantar WhatsApp memberitahu tidak dapat balik sebab mahu ke Mersing beraya sebelah isteri. Lepas itu, hari kedua raya dia mesej saya lagi kata mahu singgah rumah, tetapi saya tiada, kami memang tidak sempat jumpa sepanjang Syawal.
“Dia memang ada beritahu mahu balik pada Aidiladha dan merancang mahu bawa kami berjalan ke Selangor, ke rumah adiknya menaiki keretanya, namun semuanya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dalam kenyataan hari ini berkata, seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Lok Heng-Mawai, di sini, semalam.
Kejadian berlaku pukul 7.35 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC SE (FI) ditunggang mangsa yang melanggar seekor lembu lalu mangsa hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan.
Sementara itu, menurut Fatimah dia reda dengan pemergian anaknya itu namun kesal dengan tindakan sesetengah penternak lembu yang mengambil sikap sambil lewa sehingga membiarkan ternakan mereka terlepas sehingga ke jalan raya.
“Sebelum ini hanya tengok dalam televisyen berita kemalangan libatkan lembu, ada yang maut. Saya selalu doa janganlah kena keluarga saya, tidak sangka pula berlaku juga ke atas anak saya,” katanya sambil memberitahu jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Aping Barat hari ini. – UTUSAN