SETIU: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk haiwan berbisa di Kampung Payung, di sini hari ini.
Abdul Kadir Setapa, 57, dikatakan terkena serangan haiwan berkenaan di bilik mandi rumahnya sebelum menghubungi isterinya yang sedang bekerja di dewan makan sebuah sekolah di kampung tersebut.
Anak saudara mangsa, Muhamad Rafizal Razali, 31, berkata, ibu saudaranya menghubunginya kira-kira pukul 11 pagi ini meminta melihat keadaan Abdul Kadir yang dikatakan dipatuk haiwan berbisa di bahagian kaki kanan.
“Ketika tiba di rumah bapa saudara, saya lihat dia duduk tersandar di kerusi di ruang tamu rumah sebelum meminta bantuan seorang rakan yang kebetulan melalui kawasan depan rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Payung.
Katanya, bimbang dengan keadaan Abdul Kadir yang semakin lemah dan sukar bernafas, dia membawa mangsa ke hospital sebelum bapa saudaranya mula tidak sedarkan diri semasa dalam perjalanan mendapatkan rawatan.
Difahamkan, Abdul Kadir mempunyai sejarah penyakit jantung dan asma.
“Ketika tiba di hospital, bapa saudara saya dibawa ke bahagian kecemasan untuk rawatan sebelum saya meninggalkannya ditemani anaknya yang turut ke hospital. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, anaknya menghubungi saya memberitahu bapanya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris mengesahkan menerima laporan kematian mangsa tersebut.
“Setakat ini, punca kematian sebenar belum diketahui dan bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya. – UTUSAN