Mat rempit lawan arus, terbabas elak ditangkap polis

Mat rempit lawan arus, terbabas elak ditangkap polis

SEBANYAK 1,300 motosikal diperiksa dan 939 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi di Jalan Ampang, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Helah sekumpulan penunggang motosikal melawan arus dan berpatah balik untuk mengelak sekatan polis tidak berhasil apabila mereka ‘tersangkut’ dalam operasi perangkap jalan raya di sekitar ibu negara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian di Jalan Ampang, seorang lelaki dalam lingkungan 20-an yang panik sebaik menyedari kehadiran anggota polis cuba berpatah balik, namun gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbabas.

Lelaki terbabit yang mengakui dalam perjalanan ke Dataran Merdeka, di sini bersama kumpulan penunggang lain, tidak sempat melarikan diri apabila ditahan dalam operasi bersepadu pihak polis.

Dalam insiden berasingan, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pula bertindak lebih berbahaya apabila menunggang motosikal secara melawan arus untuk mengelak pemeriksaan.

Namun, tindakan itu tetap gagal apabila dia ditahan untuk pemeriksaan dan didapati tidak memiliki lesen memandu serta tidak membawa kad pengenalan diri.

“Saya tahu salah (lawan arus), tapi saya tidak mahu kena tahan. Saya keluar sekejap sahaja dengan kawan, ibu bapa pun tak tahu,” katanya. 

Kedua-dua mereka merupakan antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula pukul 10.30 malam hingga 4.30 pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, operasi tertumpu di tiga lokasi utama iaitu Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Sebanyak 1,300 motosikal diperiksa dan 939 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta pengubahsuaian ekzos.

“Dalam operasi ini, 55 motosikal dan sebuah kereta turut disita,” katanya dalam sidang akhbar operasi tersebut. 

Menurut beliau, kumpulan penunggang motosikal ini dipercayai bergerak secara berkumpulan melalui jalan-jalan utama sekitar ibu negara sambil mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising dari ekzos.

Jelas Mohd. Zamzuri, lokasi panas samseng jalanan turut dikesan melibatkan Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Duta–Ulu Klang Expressway (DUKE).

Tambahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 206 saman sepanjang operasi berkenaan.

“Orang ramai, khususnya ibu bapa, dinasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta berdaftar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN