MELAKA: Kira-kira 30 pesawah di Kampung Pinang, Klebang dekat ini merayu kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah sistem pengairan di kawasan seluas 145 hektar yang terjejas setiap kali musim menanam padi berikutan kekurangan air.
Mereka mendakwa masalah tersebut sudah berlarutan sejak 18 tahun lalu kerana ketiadaan sistem pengairan yang sempurna menyebabkan pesawah hanya dapat menghasilkan padi sebanyak satu tan setengah bagi 0.4 hektar (1 ekar) malah ada yang mendapat kurang daripada satu tan semusim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah Musa Arib, 65, berkata, masalah tersebut sudah membelenggu pesawah di situ terlalu lama dan satu tindakan perlu segera dilakukan bagi mengatasinya.
Dia yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 3.4 hektar sejak lebih 30 tahun lalu berkata, keadaan itu menyebabkan sawah kekurangan sumber air hingga menjejaskan kerja-kerja membajak serta proses menabur benih.
“Kami sudah membuat aduan berulang kali kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi alasan yang diberikan tidak ada peruntukan.
“Begitu juga permohonan kami supaya parit dan tali air dapat dibersihkan juga tidak dilayan dan keadaan ini menyebabkan kami berdepan kekurangan air untuk memulakan musim menanam.
“Selain itu, permohonan kami untuk mendapat tiga pam air sejak tiga musim menanam juga sehingga kini tidak mendapat perhatian dan sampai bila keadaan ini akan berlarutan?,” soalnya di sini hari ini.
Musa berkata, tujuh tahun lalu dia mampu memperoleh pendapatan bersih RM15,000 bagi semusim tetapi sekarang hanya mampu memperoleh antara RM5,000 hingga RM6,000.
Bagi seorang lagi pesawah, Gafar Mahmud, 58, masalah tersebut bukan sahaja dihadapi pesawah di Kampung Pinang tetapi juga di Batang Tiga Timur dan Bukit Kecik.
“Disebabkan masalah kekurangan sumber air saya rugi puluhan ribu apabila tiga musim saya tidak dapat mengusahakan tanaman padi di Kawasan seluas 4.04 hektar yang saya usahakan,” katanya.
Justeru, dia merayu kerajaan negeri untuk membantu pesawah di sini bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Firdaus Musa, 32, pula berkata, dia amat berharap JPS dapat membekalkan tiga pam yang dipohon selain membersihkan parit serta tali air yang dipenuhi rumput tebal hingga menyebabkan saliran tersumbat.
“Macam mana pesawah nak menyahut seruan kerajaan menanam padi lima musim dalam dua tahun jika masalah air tidak dapat diatasi segera,” katanya. – UTUSAN