JOHOR BAHRU: Cubaan seorang lelaki menyeludup 10,000 kilogram tinja ayam ke negara ini kelmarin digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, cubaan tersebut digagalkan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap sebuah lori pada pukul 3.30 petang di laluan lori import Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Berdasarkan pemeriksaan dijalankan penguat kuasa, kami telah menemukan 22 guni berisi najis ayam seberat 10,000 kilogram dengan anggaran nilai RM10,000.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua muatan 22 guni najis haiwan tersebut telah dibawa masuk tanpa permit import Maqis,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambah Edie Putra, lori beserta muatan telah ditahan untuk siasatan lanjut, manakala pemandu iaitu lelaki tempatan berusia 39 tahun telah dibebaskan selepas keterangannya diambil. – UTUSAN