SEREMBAN: Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G. Manivanan memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dalam pemilihan semula untuk jawatan itu yang diadakan hari ini.
Menerusi keputusan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Manivanan meraih 571 undi menewaskan dua lagi pesaingnya iaitu Muhammad Asri Abdullah yang mendapat 229 undi dan K. Mariappan dengan 39 undi.
Seramai 1,028 ahli PKR Jempol layak mengundi dalam pemilihan tersebut dengan 842 kertas undi dikeluarkan.
Pemilihan semula bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol itu diadakan selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan Azizah Salim Shah dibatalkan.
Ia berikutan pendedahan bahawa Azizah masih merupakan ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) semasa bertanding, sekali gus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR. – UTUSAN