KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan rasmi berhubung penangkapan tiga suspek utama sindiket pelaburan Gigamax di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Mei lalu.
Desakan itu dibuat susulan laporan akhbar berbahasa Cina bertarikh 9 Mei yang mendakwa, suspek telah ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, surat rasmi telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di sini, pada pukul 11 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan status penahanan suspek.
Beliau mempersoalkan mengapa tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa sedangkan maklumat penangkapan telah tersebar melalui media.
“Kami difahamkan kesemua suspek antara dalang utama skim pelaburan Gigamax yang mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit kepada pelabur tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Pejabat JSJK Bukit Aman, Menara KPJ hari ini.
Sebelum ini, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan terdapat unsur jenayah penipuan dalam operasi pelaburan tersebut.
Polis menahan 11 individu termasuk dua wanita berusia 34 hingga 59 tahun berhubung kes terbabit menerusi Operasi Nuri-Gigamax di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka pada 13 Nov 2024.
Gigamax merupakan platform yang berfungsi sebagai broker mata wang kripto dan menjadi medium antara pelabur dengan pasaran kripto.
Tambah Hishamuddin, seramai 99 pengadu yang mengalami kerugian lebih RM4.8 juta telah menyerahkan surat yang diwakili MHO bagi menuntut perkembangan terkini berhubung proses siasatan.
“Tujuan pertama kami hadir ialah untuk mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas tangkapan yang dibuat dan kedua untuk memohon penjelasan status terkini keadaan suspek tersebut.
“Kami ingin tahu, adakah suspek masih dalam tahanan, telah dibebaskan dengan jaminan polis atau sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tujuan pendakwaan?,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa, Noraishah Muhammad, 60, berharap tidak berlaku sebarang perlindungan kepada suspek.
“Saya sebagai mangsa menuntut penjelasan PDRM kalau benar mereka ditahan, kenapa tiada sebarang maklumat rasmi?
“Kami mahu ketelusan dan sebagai mangsa, kami berhak untuk mengetahui status terkini berkenaan dengan dalang-dalang tersebut,” katanya. – UTUSAN