TELUK INTAN: “Tolong encik, tolong saya.” Itu rintihan seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang tersepit di tempat duduk pemandu setelah kenderaan dipandunya dirempuh lori muatan batu di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, di sini semalam.
Anggota bomba, Mohd. Khusni Saidin yang menyertai operasi menyelamat berkata, rintihan minta tolong itu didengari ketika dia dan anggota lain membantu mengeluarkan mangsa dan dua rakannya yang turut tersepit.
Ketika itu, seorang anggota FRU yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala dua lagi termasuk pemandu parah.
“Pemandu trak sedar manakala rakannya dalam keadaan separa sedar. Ketika itulah dia minta tolong,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Katanya, ketika jentera bomba tiba di lokasi kejadian, keadaan kelam kabut dengan anggota FRU dilihat terbaring bergelimpangan di atas jalan raya.
Katanya, kesemua 15 anggota FRU yang duduk di bahagian belakang lori itu dibawa keluar dari kenderaan oleh anggota lain.
“Sepanjang 18 tahun saya bertugas sebagai anggota bomba, ini kali pertama saya terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa dalam jumlah yang ramai melibatkan rakan anggota pasukan keselamatan lain.
“Perasan sukar digambarkan. Ada antara kami yang menitiskan air mata ketika membantu mereka. Anggota FRU lain juga menangis melihat rakan mereka.
“Rasa sangat sedih, tak dapat bayangkan keadaan ketika itu,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 pagi itu, seramai sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut manakala dua anggota dirawat di zon merah dan tujuh yang lain di zon kuning Hospital Teluk Intan.
Lapan lagi anggota disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di daerah Hilir Perak.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kenderaan pasukan telah dirempuh sebuah lori muatan pasir yang mengalami kegagalan fungsi stereng. – UTUSAN