Malaysia terus pelihara ‘ekonomi biru’ - Mohamed Khaled

Malaysia terus pelihara ‘ekonomi biru’ – Mohamed Khaled

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) melawat reruai selepas hadir Persidangan Maritim Malaysia 2025 sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Malaysia akan terus memelihara ‘ekonomi biru’ dengan menekankan pengurusan lestari.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, eksploitasi berlebihan, perubahan iklim dan pencemaran akan mengancam ekosistem marin serta visi kemakmuran jangka panjang negara

Kata beliau, Malaysia akan kekal komited terhadap pendekatan ‘ekonomi biru’ iaitu memastikan aktiviti ekonomi di lautan tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Komitmen ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 14 iaitu kehidupan di bawah air dan menyokong aspirasi kita membangunkan ekonomi berasaskan lautan yang berdaya tahan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Persidangan Maritim Malaysia (MMC)

Persidangan tersebut diadakan bersempena dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung sejak semalam hingga Sabtu ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan terus meningkatkan penyelarasan antara agensi, memperluaskan kesedaran domain maritim dan memupuk sinergi lebih erat antara institusi kerajaan, pihak swasta serta rakan serantau.

“Ini akan dilakukan sama ada menerusi projek tenaga boleh diperbaharui luar pesisir, perikanan mampan, mahupun penemuan dalam bioteknologi marin.

“Usaha kita akan tertumpu kepada menjamin kemakmuran jangka panjang sambil memelihara kesihatan laut kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN