Malaysia tegas terajui agenda peralihan tenaga serantau - PM

Malaysia tegas terajui agenda peralihan tenaga serantau – PM

Anwar menerima kunjungan hormat bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang turut membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menegaskan komitmen sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui usaha serantau ke arah masa depan rendah karbon dengan mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) secara menyeluruh dan berskala besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyambut baik sokongan teknikal dan penyelidikan canggih daripada Jepun termasuk menerusi inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC).

“Jepun mempunyai keupayaan teknologi serta pengalaman luas dalam bidang tenaga boleh baharu, bioenergi dan teknologi pemerangkapan karbon (CCUS).

“Jepun juga telah muncul sebagai rakan strategik penting bagi Malaysia dalam usaha menjadi hab serantau inovasi tenaga mampan dan lestari,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar menerima kunjungan hormat bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang turut membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran global terutama berkaitan peralihan tenaga dan kelestarian.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia turut mengusulkan penubuhan sebuah pusat kerjasama baharu di negara ini sebagai wahana memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam bidang teknologi, kemampanan dan integrasi tenaga ASEAN.

“Kita yakin melalui kesalinghubungan yang diperluas antara industri, dasar dan komuniti penyelidikan kedua-dua negara, Malaysia akan mampu mempercepat agenda peralihan tenaga.

“Langkah ini juga membolehkan negara merintis penyelesaian inovatif dan memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.

“Inilah waktunya untuk bekerja ke arah pemerkasaan ekonomi demi warisan yang lestari buat generasi penerus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN