PUTRAJAYA: Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan dikemukakan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone itu akan dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin ASEAN nanti.
Beliau berkata, fasa pertama projek ini membabitkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Utara Semenanjung namun, beliau berharap fasa kedua dapat dipercepatkan.
“Ia (fasa kedua) penting supaya Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura dapat menerima manfaat sama. Isu ini akan akan dibincangkan dalam pertemuan pemimpin ASEAN pada sesi pemukiman nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Siphandone sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Laos itu ke Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan Laos juga akan memperluaskan hubungan perdagangan menerusi memorandum kerjasama antara Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Thanaleng Dry Port.
Katanya, ia akan menjadi satu contoh kerjasama penting dalam aspek pelaburan dan pelaburan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Isu penting lain adalah pelabuhan darat yang kita ada di Perlis dan pelabuhan Thanaleng di Laos, dan ia sedang berjalan lancar serta dijangka siap dengan cepat tahun ini.
“Dengan itu, kita sedang memperluaskan kemudahan terbabit dan sudah menandatangani persefahaman dengan Pelabuhan Pulau Pinang supaya aliran barangan dari Pulau Pinang ke Perlis dan seterusnya ke pelabuhan darat di Thanaleng dapat berjalan lancar,” katanya.
Katanya, kerjasama lain termasuk latihan dan pengurusan pelabuhan dengan PPSB, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas sedia untuk menawarkan khidmat latihan serta perkongsian kepakaran bersama.
Selain itu, Anwar berkata, beliau dan Siphandone turut membincangkan isu buruh, digital, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor selain isu tenaga alternatif termasuk unsur nadir bumi, supaya dapat mengembangkan lagi kerjasama sedia ada.
“Perbincangan turut menyentuh mengenai memorandum kerjasama berkaitan kereta api ekspres ASEAN yang dijangka akan memendekkan masa perjalanan antara negara ASEAN ke China,” katanya
Perdana Menteri berkata, perbincangan bersama rakan sejawatnya itu turut menyentuh mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN yang diharap dapat dimuktamadkan pada Oktober ini.
“Kami juga membincangkan mengenai Myanmar, keperluan untuk meneruskan bantuan kemanusiaan serta pentingnya semua pihak di Myanmar menghormati keperluan untuk keamanan, gencatan senjata segera, dan seterusnya bekerjasama melalui mekanisme dan persefahaman ASEAN, menggunakan Konsensus Lima Perkara ASEAN,” katanya – UTUSAN