Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 perlu ketuai tangani pemerdagangan manusia

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 perlu ketuai tangani pemerdagangan manusia

HISHAMUDIN Hashim menyerahkan surat kepada Perdana Menteri melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) di Wisma Putra, Putrajaya. -KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi mengetuai usaha untuk menangani isu pemerdagangan manusia melibatkan warga Malaysia di Asia Tenggara.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kedudukan Malaysia di barisan hadapan kepimpinan ASEAN membolehkan negara memainkan peranan penting dalam merangka dasar bersama.

Ini termasuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan, serta menyelaras tindakan kolektif dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa.

Menurutnya, Malaysia perlu mengambil peluang yang berharga dan strategik ini untuk mengangkat isu pemerdagangan manusia ke peringkat serantau dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

“MHO mencadangkan agar negara-negara ASEAN menubuhkan satu pasukan tindakan khas serantau bagi menyelaraskan siasatan, usaha penyelamatan
dan pemulangan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia yang sedang terperangkap di negara-negara anggota.

“Selain itu, perkasakan perjanjian dan protokol ASEAN sedia ada yang berkaitan dengan pembanterasan pemerdagangan manusia, termasuk memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan rentas sempadan dan pertukaran maklumat antara negara anggota,” katanya.

Hishamuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat kepada Perdana Menteri melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) serta dokumen yang mengandungi butiran seramai 28 mangsa yang dipercayai masih terperangkap di Myanmar di Wisma Putra hari ini.

Dokumen tersebut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Konsular KLN, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MHO turut mencadangkan agar negara-negara ASEAN memberikan komitmen dan sokongan untuk membantu membawa pulang kesemua mangsa pemerdagangan manusia yang masih terperangkap khususnya di Myanmar, Laos dan Kemboja.

Beliau berkata, tindakan tegas, cepat dan bersifat
kemanusiaan amatlah diperlukan bagi memastikan mangsa-mangsa ini dapat diselamatkan dengan kadar segera.

Justeru, katanya, satu tindakan diplomatik harus diselaras dengan lebih agresif bagi memastikan nasib rakyat Malaysia di luar negara dibela dengan lebih teratur dan selamat.

“Sehingga hari ini, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang terperangkap, dikurung dan ditahan tanpa sebarang peluang untuk dilepaskan kerana mereka ini telah terjerat dengan penipuan dan pemerdayaan yang digunakan sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab melibatkan aktiviti jenayah pemerdagangan manusia ini.

“Semua negara yang berkaitan perlu memberikan komitmen sepenuhnya untuk menutup serta-merta semua pusat-pusat penipuan (scam centre) yang dikenal pasti beroperasi di dalam wilayah masing-masing.

“Ini kerana pusat berkenaan tidak sepatutnya diberi ruang untuk terus wujud dan menjalankan kegiatan yang membahayakan nyawa serta kesejahteraan rakyat serantau. Penutupan pusat-pusat ini adalah merupakan diantara langkah penting demi menjamin keselamatan, keadilan dan maruah kemanusiaan di dalam komuniti negara-negara ASEAN,” ujarnya.

//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN