Malaysia-Russia teroka ruang kerjasama baharu

Malaysia-Russia teroka ruang kerjasama baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Malaysia dan Russia komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.

Perkembangan itu dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bertemu Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin bersama delegasi kedua-dua negara.

Katanya, bidang strategik itu termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan, tenaga, pertanian, pelancongan serta pertukaran budaya dan saintifik.

Jelasnya, Malaysia menghargai pelbagai mekanisme kerjasama yang telah diwujudkan, termasuk Suruhanjaya Bersama JC-ESTC yang akan bersidang semula di Langkawi hujung tahun ini.

“Dari segi perdagangan, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Russia seperti peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar, di samping meningkatkan eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit.

“Malah, Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan langsung asing dari Russia, terutama dalam sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital, tenaga dan agroteknologi, selain menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bersama,” katanya.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu turut menyentuh mengenai penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia serta langkah-langkah meningkatkan keterhubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

Sebagai tanda keakraban hubungan yang semakin erat, Anwar menyampaikan jemputan rasmi kepada Mishustin untuk berkunjung ke Malaysia bersama delegasi kerajaan dan perniagaan Russia dalam masa terdekat.

Beliau dalam masa sama menzahirkan penghormatan kepada Mishustin atas usaha melaksanakan reformasi institusi di Russia.

Katanya, pendekatan itu selari dengan agenda reformasi yang digerakkan di Malaysia menerusi Gagasan Madani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN