Malaysia perkukuh peranan global dalam air dan tenaga

Malaysia perkukuh peranan global dalam air dan tenaga

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Perancis bermula hari ini sehingga Rabu bertujuan meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang peralihan tenaga.

Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) memaklumkan, selain itu Fadillah akan menyertai Sidang Kemuncak Air Global anjuran Global Water Intelligence (GWI) sepanjang lawatan itu.

Kementerian berkata, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air dijangka menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari pembukaan sidang itu yang bertemakan ‘Menggerakkan Aspek Ekonomi Air.’

“Sidang itu merupakan platform untuk menyampaikan hala tuju strategik sektor air negara ke arah menjadikan sektor air pemangkin pembangunan mampan dan daya saing ekonomi negara.

“Ia seterusnya menjadikan sektor air hab ekonomi menjelang 2040 selaras visi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040),” katanya.

Kata Kementerian itu, undangan Fadillah menyampaikan ucaptama di sesi Plenari Pembukaan persidangan ini berdasarkan pencapaian Malaysia yang berjaya menjadi negara contoh melaksanakan tadbir urus baik dalam pengurusan air.

“Ia sejajar usaha Malaysia ke arah penggunaan air pulih guna sebagai sumber alternatif bagi kegunaan perindustrian dan perluasan perkhidmatan sanitasi kepada komuniti berpendapatan rendah,” katanya.

Tambah Petra, Fadillah akan mengadakan lawatan penanda aras ke loji jana kuasa tenaga nuklear dengan kerjasama pihak Electricite de France (EDF) selaras inisiatif kerajaan berkaitan keperluan tenaga nuklear sebagai opsyen campuran bahan api tenaga di Malaysia untuk memastikan sekuriti bekalan tenaga di negara ini.

Selain itu, beliau akan menghadiri perbincangan dan sesi perkongsian ilmu bersama enam kementerian dan agensi utama di Perancis yang bertanggungjawab terhadap pembangunan teknologi dan tadbir urus nuklear Perancis.

“Ia melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Perancis, Electricite de France (EDF), National Agency for Radioactive Waste Management (ANDRA), French Authority for Nuclear Safety and Radiation Protection (ASNR), International Institute of Nuclear Energy (I2EN) serta French Alternative Energies and Atomic Energy Commission (CEA).

“Timbalan Perdana Menteri juga bakal mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Tenaga dan Industri Perancis, Marc Ferracci untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang peralihan tenaga serta mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Potensi kerjasama dengan pihak Perancis meliputi aspek keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga, penggubalan dasar, kawal selia dan perundangan serta memahami cabaran dan kaedah penyelesaian terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN