Malaysia 'kemudi' ASEAN ke arah kebersamaan

Malaysia ‘kemudi’ ASEAN ke arah kebersamaan

MOHAMAD Hasan bersama Menteri-menteri Luar pada Mesyuarat Menteri Luar Asean sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu menggerakkan ASEAN sebagai sebuah pasukan besar dalam menangani ancaman keselamatan, keamanan, perubahan iklim dan tekanan ekonomi tanpa menyisihkan mana-mana negara ahlinya.

Hal ini dibuktikan dengan komitmen Malaysia tanpa berbelah bagi dalam memperoleh persetujuan bersama oleh negara ahli ASEAN iaitu Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Singapura bagi menyiapkan Visi Komuniti ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama.

Visi Komuniti ASEAN 2045 bukanlah dokumen simbolik semata-mata sebaliknya ia merupakan permulaan usaha secara kolektif untuk masa depan rantau ini bagi 20 tahun akan datang supaya sentiasa aman, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Visi Komuniti ASEAN 2045 membawa aspirasi berani dengan menjadikan rantau ini sebagai sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini memberi peluang untuk kita menempatkan nilai-nilai ini di pusat hala tuju ASEAN ke arah realisasi Visi 2045.

“Kejayaan visi ini bermula dengan usaha kita hari ini. Asas yang kita bina sekarang akan menentukan sama ada visi itu menjadi kenyataan atau sekadar impian,” katanya.

Usaha berterusan Malaysia dalam mengemudi ASEAN sebagai Pengerusi ASEAN 2025 ke arah kebersamaan boleh dilihat menerusi iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited untuk mengembalikan keamanan di rantau ini dengan memainkan peranannya ke arah mencari penyelesaian konflik di Myanmar.

Jika dilihat daripada agenda Mesyuarat Pegawai-Pegawai ASEAN (SOM) yang dilaksanakan kelmarin, dua daripada mesyuarat dilaksanakan adalah berkisarkan mengenai isu konflik di Myanmar khususnya membabitkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang menjadi titik rujukan ke arah perdamaian.

Bahkan, Mohamad di dalam ucapan pembukaannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) turut menekankan keperluan pihak-pihak berkepentingan di Myanmar untuk menghentikan perbalahan dan melanjutkan gencatan senjata bagi memudahkan proses pemulihan di negara terbabit.

Ia mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap kira-kira 51 juta rakyat Myanmar yang kini menderita akibat ‘perang saudara’ yang tiada berkesudahan sejak empat tahun lalu.

Tidak berhenti di situ, agenda keamanan ASEAN turut akan diteruskan apabila Malaysia bercadang untuk mengadakan lawatan dan rundingan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar supaya dapat membentangkan hasrat pihak berkepentingan dalam menghentikan permusuhan.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia sangat menekankan isu konflik di Myanmar sebagai antara agenda utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Katanya, ia boleh dilihat apabila terdapat dua mesyuarat khas diadakan oleh Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan khusus untuk isu tersebut.

“Juga diadakan mesyuarat mengenai 5PC yang telah dipersetujui negara ASEAN pada tahun 2021 di Jakarta, Indonesia, untuk menekankan kepada Myanmar supaya ia perlu dipatuhi ke arah negara demokrasi.

“Penekanan isu dalaman ASEAN itu penting supaya masyarakat antarabangsa tidak boleh menjadikan konflik Myanmar sebagai alasan untuk mengenepikan suara rantau ini dalam isu-isu global,” katanya.

Sementara itu, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, terdapat tiga fokus utama diberikan penekanan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dipengerusikan oleh Malaysia kali ini.

Katanya, fokus itu adalah isu tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada negara-negara ASEAN, kesepakatan ASEAN terhadap konflik di Myanmar dan Visi ASEAN 2045.

“Jika dilihat daripada isu dibangkitkan dalam tiga hari Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) terdapat perkembangan positif dalam usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menoktahkan konflik di Myanmar.

“Apabila Datuk Seri Mohamad Hasan mengatakan bahawa Malaysia bercadang untuk melawat dan berunding dengan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, ia merupakan satu perkembangan sangat positif.

“Jika Malaysia berjaya mendapatkan kebenaran untuk masuk ke Myanmar untuk berunding dengan SAC dan membentangkan kehendak pihak berkepentingan ia adalah satu kejayaan amat signifikan ke arah meredakan konflik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pergolakan di Myanmar merupakan satu masalah kompleks dan masih jauh untuk dicapai namun keputusan Malaysia untuk mengadakan lawatan itu adalah langkah positif.

Lebih manis, dalam usaha berterusan Malaysia khususnya Kementerian Luar Negeri dalam isu membabitkan keahlian Timor-Leste, Visi Komuniti ASEAN 2045, Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan konflik Myanmar yang dibicangkan mendapat persetujuan peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN