PUTRAJAYA: Malaysia menggesa dua pihak antara India dan Pakistan untuk berhenti membuat provokasi dan mengaktifkan semula saluran komunikasi yang membina.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, adalah penting untuk mereka bertenang dan mengambil pendekatan berdialog susulan peningkatan mendadak ketegangan antara dua negara itu.
“Setegang mana keadaan, diplomasi kekal sebagai jalan terbaik untuk mengelakkan krisis.
“Malaysia mengulangi gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar siasatan yang menyeluruh dijalankan terhadap serangan pada 22 April di Pahalgam, bagi memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia menegaskan semula sokongan ke atas segala usaha ke arah penurunan ketegangan dan dialog yang bermakna antara India dan Pakistan.
Media melaporkan konfilik antara India dan Pakistan tercetus susulan insiden serangan berdarah di wilayah Kashmir, India yang mengorbankan 26 individu pada 22 April lalu. – UTUSAN