Malaysia fokus selaras agenda pembangunan komuniti ASEAN berpaksi rakyat

Malaysia fokus selaras agenda pembangunan komuniti ASEAN berpaksi rakyat

SUASANA sekitar Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia memikul tanggungjawab penting dalam membentuk hala tuju Komuniti ASEAN yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan sempena Kepengerusian ASEAN pada tahun ini.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bermula hari ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” bukan sekadar slogan, malah ia mencerminkan aspirasi untuk menjadikan ASEAN lebih rapat dengan rakyatnya dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan.

Selain Sidang Kemuncak bersama Negara-Negara Anggota ASEAN, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan inisiatif baharu Sidang Kemuncak ASEAN GCC-China.

Kata beliau, kepentingan dan fokus kesemua platform ini penting bagi pemimpin-pemimpin untuk meneliti kemajuan ASEAN dalam tiga tunjang utama iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosiobudaya.

“Ia juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu-isu serantau dan global yang semakin kompleks, termasuk isu Laut China Selatan, Krisis Kemanusiaan di Gaza dan Myanmar.

“Ini termasuk isu tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang akan dijalankan juga mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.

Jelasnya, ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion dan Pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak AS$390.2 juta.

“Sidang ini bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN GCC 2024-2028, termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya serta digital,” katanya.

Menurut beliau, Sidang Kemuncak trilateral di antara ASEAN, GCC dan China pula adalah inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China.

Katanya, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$3.8 trilion, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah AS$696.7 bilion.

“Sidang ini dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan digitalisasi rantau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepimpinan Perdana Menteri akan menjadi tumpuan dalam kepengerusian ASEAN ini bukan sahaja dalam membentuk keputusan-keputusan utama sidang, tetapi juga dalam mempamerkan iltizam Malaysia terhadap keterangkuman, kemampanan dan kestabilan serantau.

Katanya, ia menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Melalui kepengerusian ini, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China.

“Dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir AS$25 trilion dan populasi lebih 2 bilion orang, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur yang mampan.

“Lebih daripada itu, penganjuran sidang berskala besar ini turut menyumbang manfaat langsung kepada ekonomi domestik – khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN