KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan sama ada sambutan diberikan ke atas lawatan negara Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini punca Malaysia dikenakan tarif lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura dan Filipina.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, penetapan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus itu mungkin disebabkan Malaysia dilihat seolah-oleh cenderung kepada China.
“Adakah ini tidak menunjukkan bahawa kita terlalu memihak (kepada) satu pihak dalam pertembungan ini?
“Saya juga dimaklumkan bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan membuat lawatan ke Rusia dan ini juga dilihat sebagai satu lawatan yang kita terlalu pro kepada blok yang bertentangan dengan AS,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung tarif timbal balik AS, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung taklimat tarif timbal balik AS yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN