KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi memperluas produk tempatan ke negara Teluk dengan mengambil kesempatan daripada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung ketika ini.
Ketua Jawatankuasa Kecil Logistik, Media dan Publisiti ASEAN, Zamshari Shaharan berkata, kehadiran perwakilan daripada Majlis Negara Teluk (GCC) iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain memberi peluang produk Malaysia untuk dibawa ke negara itu.
“GCC ini mungkin satu peluang pasaran baharu kepada kita berbanding negara ASEAN lain.
“Contohnya kita boleh membawa buah-buahan tempatan ke negara tersebut untuk dipasarkan sekali gus membawa jenama Malaysia ke luar negara,” katanya ketika ditemui di reruai pameran dan jualan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, semalam.
Jelasnya, reruai dan jualan sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Hall 2, Aras G, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dibuka bermula semalam sehingga Ahad ini kepada orang awam manakala delegasi ASEAN pada Isnin dan Selasa.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 itu bertemakan ‘The Heritech Malaysia’ merupakan gabungan unsur warisan dan teknologi yang melibatkan kraftangan tempatan, makanan dan minuman keluaran tempatan, perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia serta perkhidmatan dan produk yang disediakan oleh syarikat tempatan.
Antara demonstrasi yang diadakan di reruai tersebut, demonstrasi menekat benang emas, demonstrasi secara langsung penggunaan dompet digital, permainan dan pameran interaktif, pameran kraftangan tempatan, paparan video dan papan digital, peluncuran produk tempatan dan cabutan bertuah.
Selain itu, terdapat demonstrasi anyaman dan mencanting batik, aktiviti interaktif bersama orang asli, edaran cenderahati, promosi dan jualan produk tempatan, uji rasa produk makanan dan minuman tempatan serta simulasi dron.
Sementara itu, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Dua Hala dan ASEAN, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theressa P. Lazaro berkata, hubungan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) perlu diperkukuhkan menerusi kerjasama dan perkongsian dalam pelbagai bidang.
Katanya, perkara itu juga antara isu yang ditekankan dalam Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semalam.
Menurutnya, hubungan antara ASEAN dan GCC perlu diperkukuhkan menerusi visi strategik dan dokumen yang akan dikeluarkan hasil pertemuan mesyuarat berkenaan.
“Terdapat dua dokumen iaitu hasil keputusan bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan dokumen perjanjian ekonomi antara negara yang terlibat.
“Justeru, kita sebagai sebahagian negara yang berada dalam komuniti ini akan terus berbincang bagi memastikan hubungan dan potensi besar dapat dicapai pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Filipina berperanan sebagai koordinator Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN – GCC semalam dengan dipengerusikan Kuwait.-UTUSAN