Malaysia belum sedia proses nadir bumi secara menyeluruh

Malaysia belum sedia proses nadir bumi secara menyeluruh

KERAJAAN boleh membina kilang di Pantai Barat dan Pantai Timur untuk memproses nadir bumi karbonat ini menjadi nadir bumi oksida.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sebenarnya sudah jauh ke hadapan dalam teknologi dan kepakaran pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di peringkat awal (upstream) dan pertengahan (midstream), namun masih belum menguasai keseluruhan rantaian industri.

Pensyarah Program Sains Nuklear merangkap Timbalan Pengarah Profesional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd Idzat Idris berkata, negara mampu melaksanakan proses pengasingan elemen REE, tetapi sebaliknya pada peringkat akhir (downstream) iaitu penghasilan produk seperti magnet kekal, bateri atau komponen elektronik berasaskan unsur tersebut.

“Kita sudah ada teknologi dan pengalaman sejak zaman Asian Rare Earth (ARE) di Perak pada 1980-an, kemudian Lynas di Gebeng, Kuantan. Jadi dari segi keupayaan teknologi upstream dan midstream, Malaysia sudah sampai ke tahap itu.

“Namun, kalau kita nak kata Malaysia mampu bersaing menghasilkan produk akhir seperti magnet kekal atau komponen teknologi tinggi digunakan dalam industri ketenteraan atau tenaga boleh baharu, kita belum sampai ke tahap itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan walaupun mempunyai 16 juta tan nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC) rendah radioaktif yang boleh men­jadi sumber ekonomi baharu bernilai RM800 bilion, Malaysia tiada teknologi untuk mempro­ses unsur itu.

Ketiadaan teknologi yang dikatakan eksklusif milik China, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) itu menjadi cabaran utama negara untuk membina kilang teknologi pembuatan supermagnet, bateri dan lain-lain, sekali gus menyukarkan penjanaan pendapatan ratusan bilion ringgit itu.

Mengulas lanjut, Mohd Idzat berkata, negara mempunyai kilang Lynas di Pahang yang menjalankan proses pemisahan dan pengekstrakan REE dengan kepakaran dan sistem kawalan yang kukuh.

Menurut beliau, dalam aspek eksplorasi dan pengekstrakan, Malaysia memiliki ramai pakar geologi dan alam sekitar yang mampu melaksanakan kajian serta perlombongan REE secara bertanggungjawab.

Katanya, Lynas juga telah melatih tenaga pakar tempatan dalam proses ‘cracking’ dan pemisahan unsur REE melalui latihan di luar negara serta membuktikan Malaysia tidak kekurangan dari segi teknologi atau tenaga mahir.

Bagaimanapun, beliau mengakui negara masih ketinggalan dalam aspek akhir (downstream), iaitu keupayaan menghasilkan produk akhir seperti magnet kekal, bateri dan komponen elektronik berasaskan REE.

Sementara itu, Profesor Fizik Gunaan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Ts. Dr. Zaidi Embong berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai kepakaran dalam bidang ini, namun kekurangan dari segi teknologi pemprosesan dan pengurusan sisa buangan menjadi kekangan utama untuk membangunkan industri tersebut secara menyeluruh.

Katanya, terdapat rakyat Malaysia yang bekerja di kilang Lynas dan memperoleh pengalaman dalam industri nadir bumi, namun hasil itu sendiri tetap dimiliki oleh pihak luar.

“Kalau kita lihat Lynas, pekerja mereka ramai dari Malaysia. Jadi, kita sebenarnya ada tenaga kerja berkemahiran. Cuma, teknologi dan peralatan digunakan masih bergantung kepada kepakaran luar,” jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia sering berdepan situasi di mana bahan mentah negara diproses di luar negara dan akhirnya perlu dibeli semula dalam bentuk produk siap.

“Perkara ini berlaku kerana negara belum membina ekosistem industri yang lengkap termasuk dalam bidang mikroelektronik yang memerlukan elemen nadir bumi seperti lanthanum dan thorium.

“Kita ada sumber dan tenaga kerja, tetapi kalau tak dibangunkan kemahiran dan infrastruktur dalam negara, kita tetap bergantung pada negara luar,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa negara tidak memanfaatkan pakar tempatan secara optimum dalam projek-projek seperti Lynas, sedangkan kebergantungan kepada syarikat asing hanya akan menyebabkan hasil dibawa keluar dan negara hanya menanggung kesan sisa buangan.

“Apabila sisa itu ditinggalkan di sini seperti yang berlaku di Bukit Merah dulu, ada kesan radioaktif yang berbahaya kepada ekosistem dan manusia.

“Kita bimbang sisa seperti monazit yang mengandungi thorium akan mencemari air bawah tanah yang menjadi sumber air minuman,” ujarnya.

Beliau berkata, negara perlu menghantar pakar-pakar dan saintis ke luar negara bagi mendapatkan latihan intensif dan kepakaran khusus dalam pengurusan REE agar negara boleh berdikari dalam aspek pemprosesan dan pengurusan sisa nadir bumi secara selamat dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN