Malam Kilauan Cahaya Istana Arau eratkan hubungan institusi diraja, masyarakat - Utusan Malaysia

Malam Kilauan Cahaya Istana Arau eratkan hubungan institusi diraja, masyarakat

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar di sekitar istana yang indah dengan gemerlapan lampu hiasan bersempena Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau 2025 di Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tepat pukul 9 malam pada Jumaat dan semalam, pintu Istana Arau dibuka bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat dan pelancong menyaksikan keindahan Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau 2025 di sini.

MKC Istana Arau 2025 dianjurkan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melalui Pusat Komunikasi Korporat (PKK) dan Pusat Kebudayaan (PKBU) dengan kerjasama pejabat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail itu bersempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82.

Selepas MKC terpaksa dihentikan seketika pada 2020 ekoran pandemik Covid-19, ternyata tahun ini ia mendapat sambutan cukup hebat.

Ia apabila lebih 32,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum seluruh pelosok negeri ini hadir dalam program dua hari itu untuk melihat keindahan gemerlapan lampu hiasan istana.

Malam kilauan cahaya tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara institusi diraja dengan masyarakat setempat dan sejak diperkenalkan pada 2012, acara berkenaan menjadi platform tahunan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat termasuk pelancong luar.

Selain menyaksikan keindahan cahaya lampu, pelbagai pengisian menarik diatur seperti persembahan kebudayaan, pameran Galeri Diraja, pertunjukkan bunga api serta aktiviti interaktif yang melibatkan komuniti setempat.

MKC adalah hasil cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi mendekatkan rakyat dengan institusi Raja Perlis.

Seorang pengunjung, Fairuz Hamid,42, berkata, selepas beberapa tahun, malam kilauan cahaya di Istana Arau bersempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis kembali diadakan.

Katanya, dia tidak melepaskan peluang membawa tiga orang anaknya menyaksikan keindahan cahaya lampu dan lanskap yang indah di pekarangan Istana Arau.

“Program seperti ini juga menjadi kesempatan kepada rakyat untuk memasuki istana dan kami tidak melepaskan peluang untuk hadir. Istana penuh dengan pengunjung sepanjang dua hari malam kilauan cahaya tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PKK Unimap, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, PKK memainkan peranan penting dalam penyelarasan promosi dan dokumentasi acara, manakala PKBU pula bertanggungjawab dalam penyediaan persembahan seni dan budaya. 

Katanya, kehadiran pengunjung yang memberangsangkan setiap tahun mencerminkan kejayaan program ini dalam memupuk semangat kekitaan dan menghargai warisan budaya negeri ini selain menerapkan konsep raja dan rakyat berpisah tiada.

“Meskipun dalam keadaan hujan renyai pada malam pertama namun pengunjung tidak berganjak menyaksikan persembahan kebudayaan dan keindahan cahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN