SABAK BERNAM: Semua operasi MyKiosk di Selangor perlu berfungsi secara maksimum bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk terutama di kawasan luar bandar.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri sedang memantau inisiatif itu yang memberi manfaat kepada golongan layak mengusahakan perniagaan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu, pemerhatian mendapati MyKiosk antaranya di Bagan Nakhoda Omar beroperasi dengan baik.
“Kita mahu inisiatif itu benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat untuk menjana pendapatan dan berfungsi semaksimum mungkin.
“MyKiosk diharap dapat memperkukuhkan ekonomi penduduk apatah lagi dalam ketidaktentuan keadaan ekonomi global ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas
program sumbangan kepada masjid, surau dan Back To School Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di sini, semalam.
Khamis lalu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah supaya memantau unit MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak beroperasi.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, PBT perlu memberi tempoh tiga bulan sebelum menarik balik unit itu dan menyerahkan kepada individu lain yang lebih layak jika ia hanya dijadikan tempat penyimpanan barang.
Mengulas lanjut, kata Rizam, kerajaan negeri negeri amat komited membantu rakyat melalui pelbagai program yang dilaksanakan.
“Kita mempunyai ebih 20 inisiatif termasuk program Jualan Rumpun Selangor, bantuan pendidikan dan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) melibatkan anak syarikat kerajaan negeri.
“Semua usaha itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan rakyat walaupun mencabar,” ujarnya. – UTUSAN