PETALING JAYA: Mana-mana individu termasuk majikan yang membawa masuk warga asing ke negara ini namun membiarkan mereka terus tinggal tanpa sebarang pengawasan dan dokumen sah boleh diheret ke mahkamah.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang membawa masuk warga asing diingatkan untuk lebih bertanggungjawab dalam memastikan mereka pulang ke negara asal sebaik pas lawatan kerja sementara (PLKS) tamat tempoh.
“Jika sebelum ini kita tangkap warga asing dan tuduh pendatang asing tanpa izin (PATI) namun kini kita akan tangkap sekali majikan atau individu yang melindungi mereka.
“Kalau PATI itu kami semak ada majikan yang menjaga mereka, kami akan tangkap individu berkenaan. Begitu juga kalau pati itu sewa rumah, pemilik rumah itu kita akan dakwa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Zakaria berkata, tindakan tegas diambil Imigresen, memberi gambaran bahawa kerajaan serius dalam mengenai isu PATI.
Menurutnya, setakat tahun ini, sebanyak 669 majikan diambil tindakan yang menggajikan PATI yang melanggar Akta Imigresen 1959/1963 antaranya tinggal melebihi masa dan tanpa dokumen sah.
Jelasnya, walaupun tindakan terhadap majikan telah diambil pada tahun sebelum ini namun beliau kini tekad mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada pihak majikan yang lepas tangan terhadap pekerja asing.
Pihaknya turut mengesan terdapat majikan yang tidak membuat laporan apabila pekerja warga asing yang digajikan mereka yang melarikan diri.
“Mereka perlu bertanggungjawablah, apabila pekerja lari perlu dilaporkan, lepas itu apabila sudah buat laporan dan sebagainya, barulah kita ada maklumat (pekerja lari).
“Nanti bila kita tahan, barulah dia bercerita dia lari dan sebagainya. Bila kita tengok tidak ada pun laporan majikan dia buat,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan sindiket pemalsuan dokumen dipercayai mampu mengaut keuntungan hingga mencecah jutaan ringgit setahun dengan menghasilkan pasport dan pas lawatan kerja sementara palsu terhadap warga asing yang ingin bekerja di negara ini.
Zakaria dilaporkan berkata, terdapat sindiket dikesan menawarkan pasport negara tertentu kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dengan menawarkan pasport tulen dengan meminda maklumat biodata baharu milik bakal pelanggan bagi memudahkan mereka memohon pemeriksaan kesihatan Fomema.
Sindiket mengenakan bayaran RM200 bagi perkhidmatan ini termasuk urusan pemeriksaan di klinik tertentu.
“Ada sindiket dikesan menawarkan pasport bagi mendapatkan dokumen Fomema dengan bayaran RM100 ke RM150 untuk setiap pasport.
“Aktiviti haram ini mampu menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 naskhah pasport sehari. Sindiket cenderung memalsukan pasport negara asing yang tersenarai sebagai negara sumber pekerja asing seperti Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia,” katanya. – UTUSAN










