MaiStorage Technology sasar latih 175 jurutera reka bentuk IC menjelang 2026

MaiStorage Technology sasar latih 175 jurutera reka bentuk IC menjelang 2026

ANWAR Ibrahim diiringi K.S Pua (kanan) ketika melawat ruang pameran selepas Majlis Perasmian MaiStrogae Technology Sdn Bhd di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: MaiStorage Technology Sdn Bhd yang merupakan sebahagian daripada Phison Group menyasarkan untuk melatih sehingga 175 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) dalaman menjelang tahun 2026, di samping menjalin kerjasama dengan TalentCorp bagi usaha tersebut.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MaiStorage Technology, Datuk Pua Khein Seng berkata, pembangunan bakat dalam reka bentuk IC merupakan cabaran paling kritikal dan kompleks dalam perjalanan Malaysia ke arah industri semikonduktor.

“Ini kerana ia memerlukan kepakaran dalam seni bina cip, elektronik lanjutan dan pengalaman praktikal dengan IP tersendiri dan kemahiran ini sukar diperoleh dan banyak tertumpu di luar negara.

“Justeru, usaha selari itu bertujuan membina barisan kepimpinan inovasi semikonduktor Malaysia agar negara tidak lagi bergantung kepada kepakaran luar tetapi mampu menjadi pencipta IC bertaraf dunia dan mengawalnya,” katanya pada Majlis Pelancaran MaiStorage Technology di sini hari ini.

MaiStorage Technology merupakan sebuah syarikat penyedia teknologi reka bentuk IC dan storan yang memulakan operasi pada Jun 2024.

Syarikat berkenaan turut mengaplikasikan semula model perniagaan unik syarikat induknya, Phison dan bertindak sebagai hab utama bagi operasi perniagaan serantau dan pusat perancangan strategik, pembuat keputusan dan pembangunan perniagaan.

MaiStorage juga merupakan salah satu rakan kongsi dalam program Malaysia Semiconductor Accelerator and Integrated Circuit Design Park anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) yang bertujuan memperkasa pembangunan industri reka bentuk IC tempatan.

Mengulas lanjut, Khein Seng turut percaya terhadap potensi Malaysia untuk bersaing dalam sektor semikonduktor dan teknologi global dan pendekatan yang dibawa melalui MaiStorage merupakan kaedah terbaik dalam membina kepakaran dan pengetahuan tempatan.

“MaiStorage bukan sekadar memenuhi keperluan perniagaan dan industri tempatan menerusi produk dan penyelesaiannya. Untuk Malaysia mencapai matlamat sebagai hab reka bentuk IC serantau, kita perlu melahirkan bakat tempatan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Melalui penglibatan berterusan dalam perkhidmatan reka bentuk, jurutera-jurutera ini akan terus menimba pengalaman penyelidikan dan pembangunan serta pengetahuan teknikal yang amat berharga. Ini satu-satunya jalan realistik untuk membina industri reka bentuk IC dan semikonduktor Malaysia dari bawah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN