Mahasiswa tidak lagi risau belanja makan

Mahasiswa tidak lagi risau belanja makan

BANTUAN bulanan sebanyak RM200 menerusi program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) bantu 200 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Pelajar beberapa institusi pengajian tinggi di negeri ini yang menerima bantuan program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) menyifatkan inisiatif kerajaan negeri itu sangat membantu mereka menghadapi masalah kewangan semasa belajar.

Menerusi program MPS, seramai 200 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, di sini menerima bantuan bulanan berjumlah RM200.

Pelajar yang menerima inisiatif itu lega dan terharu kerana memperoleh bantuan kewangan yang sangat diperlukan untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

Pelajar Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital universiti tersebut, Zarith Sofea Shaharin, 21, berkata, bantuan kewangan yang diterimanya sangat bermakna kerana dia tidak lagi perlu ‘ikat perut’.

Menurutnya, ini kerana kebiasaannya pada penghujung semester, dia terpaksa berbelanja lebih untuk pembelajaran dan projek akhir.

“Saya pernah makan hanya sekali sehari kerana mahu berjimat disebabkan kekurangan wang namun sejak menerima bantuan ini, saya tidak lagi perlu risau tentang perbelanjaan untuk makanan.

“Saya difahamkan bantuan ini hanya diberikan sehingga Ogos tahun ini namun berharap ia dapat diteruskan hingga hujung pengajian nanti, kerana ketika itu kos pengajian akan meningkat,” katanya.

Pelajar jurusan yang sama, Nurun Najma Amani Ahmad Wahyuni, 20, bersyukur atas bantuan yang diterimanya, membolehkan dia tidak bergantung sepenuhnya pada wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Ting­gi Nasional (PTPTN).

Dia mengakui terpaksa berjimat dari segi perbelanjaan terutama makanan bagi memastikan wang perbelanjaan yang diberikan orang tuanya mencukupi.

“Masalah kekurangan wang semakin paling dirasai di hujung semester, banyak wang diperlukan untuk pelbagai tugasan dan projek akhir.

“Apabila kerajaan negeri mewujudkan MPS, saya sangat terharu dan gembira kerana saya tidak perlu lagi bimbang tentang wang perbelanjaan untuk makan, saya hanya perlu fokus pada pelajaran sahaja.

“Inisiatif kerajaan negeri di bawah program Perak Sejahtera 2030 ini sangat bermakna, ia sangat membantu saya menyelesaikan masalah wang perbelanjaan semasa belajar,” katanya.

Dua pelajar itu merupakan antara 200 mahasiswa UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar yang menerima bantuan MPS.

Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) juga menerima bantuan yang sama.

Berucap pada Majlis Pelancaran MPS di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu akan diperluas ke UiTM Cawangan Tapah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN