KOTA BHARU: Hasil penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian mendapati madu kelulut yang dihasilkan di negara ini berkualiti tinggi sekali gus menepati permintaan pasaran.
Ketua Penyelidik Madu Kelulut USM, Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa berkata, penghasilan itu dilakukan melalui beberapa proses termasuk pemurnian mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“USM memainkan peranan utama dalam melakukan penyelidikan bagi membantu penternak menghasilkan madu yang asli sebagaimana SOP yang ditetapkan. Menjadi hasrat USM untuk terus memperkasa industri madu kelulut di negara ini dan peringkat antarabangsa,” katanya selepas Sambutan Hari Lebah Sedunia 2025 di Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian, di sini hari ini.
Dr. Mohd. Zulkifli berkata, setakat ini lebih 4,000 penternak kelulut dilahirkan termasuk 35 individu dari Venezuela yang berdaftar bermula 2017. – UTUSAN