LPG bersubsidi: Pengusaha dobi mohon pengecualian bersyarat 

LPG bersubsidi: Pengusaha dobi mohon pengecualian bersyarat 

ZARINA Ismail (kiri) bercakap dalam sidang akhbar menggesa kerajaan mengkaji semula penarikan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi terhadap industri dobi di  Solaris Dutamas, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengusaha dobi meminta kerajaan memberikan pengecualian bersyarat penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bagi membantu mereka mendepani kenaikan kos operasi.

Malah, mereka turut meminta satu kajian dijalankan bagi menilai kesan penarikan penggunaan LPG bersubsidi terhadap industri dobi melalui penguatkuasaan Ops Gasak.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Gasak 2025 bermula 1 Mei lalu bagi membanteras penyelewengan subsidi gas LPG.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA), Zarina Ismail berkata, sistem kuota atau kad khas subsidi boleh diwujudkan bagi pengusaha dobi yang memohon secara sah agar tidak berlaku penyelewengan.

“Melalui kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak persatuan, pengecualian ini boleh dilaksanakan dengan kawalan dan pemantauan rapi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Zarina lagi, pelaksanaan Ops Gasak perlu mengambil kira kedudukan pengusaha dobi kecil dan sederhana (MSME) yang tidak memiliki kekuatan kewangan.

“Berikutan penarikan subsidi ini melalui penguatkuasaan, telah berlaku kenaikan kos operasi dan perkhidmatan sebanyak 2.5 kali ganda berbanding kos normal.

“Peningkatan mendadak dalam kos bahan api ini memberi impak secara besar kepada pelanggan dan peniaga-peniaga dobi tempatan,” katanya.

Beliau turut meminta peniaga-peniaga dobi MSME diberi penangguhan sementara pelaksanaan Ops Gasak atau kelonggaran kepada peniaga dobi tempatan sementara kajian semula itu dimuktamadkan.

“Permohonan kepada KPDN adalah berdasarkan undian ahli MULA dan juga persatuan-persatuan lain seperti Persatuan Dobi Malaysia (MLA) dan Persatuan Pengusaha Dobi Layan Diri Malaysia (PPDLDM).

“Kami memohon satu tahun moratorium atau penangguhan penguatkuasaan supaya satu kajian semula dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN