LANGKAWI: Kerajaan menunjukkan sokongan berterusan terhadap pemain industri pertahanan tempatan apabila memberi lebih banyak peluang kepada mereka melalui perjanjian lebih RM4 bilion yang dimeterai sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu juga merupakan satu cerminan keyakinan yang diharap akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pihak luar.
“Perolehan yang dibuat juga bermatlamat untuk meningkatkan dorongan terhadap pembangunan industri pertahanan tempatan dan pembangunan kapasiti.
“Perkara ini dilakukan dengan memberi peluang kepada pelbagai syarikat tempatan menggunakan keupayaan sedia ada untuk memberikan pelbagai bentuk perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama Timbalannya, Adly Zahari dan Panglima ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar menyaksikan Majlis Menandatangani dan Serahan Kontrak Perolehan, Surat Niat (LOI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) sempena LIMA’25, hari ini.
Terdahulu, sebanyak RM11 bilion dibelanja kerajaan bagi mengukuhkan sektor pertahanan negara melalui 96 perjanjian yang ditandatangani dan diserahkan merangkumi 85 kontrak, dua LOI dan enam MoU.
Ujar Mohamed Khaled, antara kontrak yang dimeterai bersama syarikat tempatan adalah penyelenggaraan dan pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri kepada BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) berjumlah RM1 bilion.
“Kita juga beri kontrak sewaan empat helikopter tambahan berkeupayaan siang dan malam kepada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. bernilai RM187 juta dan kontrak perolehan Stok Apungan Tambahan bagi Enjin TP400-D6 dan Low Pressure Turbine pesawat A400M kepada Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) bernilai 392 juta.
“Kontrak bernilai RM378 juta pula kepada BHIC Aeroservices Sdn. Bhd. (BHICAS) untuk senggaraan dan pembekalan alat ganti helikopter EC725 selain kontrak pengekalan pesawat pejuang F/A-18D kepada G7 Global Aerospace bernilai RM187 juta,” katanya.
Tambah beliau, syarikat AR Eastern Sdn. Bhd. pula dipersetujui untuk kontrak Selenggaraan, Pembekalan dan Penghantaran Alat Ganti serta Latihan bagi Satelit X-Band kegunaan ATM bernilai RM112 juta.
Katanya, LOI kepada Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. bagi perolehan Integrated Logistic Support dan Trial Aids (ILS & TA) Kapal Tempur Pesisir (LCS) pula bernilai RM800 juta di samping perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) dan infrastrukturnya bernilai RM1.88 bilion kepada Mildef International Technologies Sdn. Bhd.
“Antara lain adalah kontrak selenggaran bagi Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 kepada Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd; perkhidmatan Pasang Pulih (Refit) KD Jerai kepada Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd dan penggantian Sistem Pengurusan Trafik Udara Pangkalan Udara Butterworth kepada Zetro Services,” katanya. – UTUSAN