LANGKAWI: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berakhir semalam terbukti menjadi simbol kebanggaan negara menerusi pencapaian dan sambutan luar biasa diterima sepanjang lima hari penganjurannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LIMA bukan sekadar pertunjukan aset pertahanan dan aerobatik, sebaliknya arena strategik dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serta pembangunan teknologi antara negara.
“Tahun ini, sebanyak 860 pempamer mengambil bahagian dan angka ini lebih tinggi berbanding LIMA’23. Sepanjang LIMA’25, secara kasar menerima sehingga 450,000 pengunjung daripada kesemua kumpulan komersial dan perniagaan, delegasi dalam negara dan antarabangsa serta orang awam.
“Sebanyak 1,400 pertemuan business-to-business dan 920 business-to-government berlangsung sepanjang lima hari ini. Semua ini memberi gambaran yang baik terhadap penganjuran LIMA dan perkembangan serta masa depan industri pertahanan negara,” katanya pada Majlis Penutup LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), semalam.
LIMA membolehkan kerajaan memantau perkembangan terkini dalam industri pertahanan, selain memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran geopolitik semasa.
Mohamed Khaled berkata, keunggulan sektor pertahanan kini turut bergantung kepada penguasaan teknologi canggih, bukan hanya aspek kekuatan fizikal.
“LIMA adalah bukti betapa pentingnya integrasi antara kekuatan teknologi dan pertahanan negara dan saya memberi jaminan LIMA akan diteruskan sebagai acara dwitahunan yang berprestij dengan edisi seterusnya dijadualkan pada tahun 202.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memukau pengunjung dengan demonstrasi udara dan pameran aset strategik negara.
“Kita turut bangga dengan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan yang memandu sendiri pesawat Sukhoi ‘Toruk Makto’ dalam pertunjukan udara setiap hari,” katanya.
Sementara itu pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd. Aiman Azlan, 35, teruja apabila pertama kali dapat mengunjungi pameran itu berbanding hanya menontonnya di televisyen selama ini.
“Penglibatan banyak syarikat tempatan menandakan negara kita tidak pernah ketinggalan tetapi sentiasa berinovasi dalam menghasilkan aset mahupun alat melibatkan ketenteraan,” katanya.
Pengujung dari Selangor, Muhammad Qayyum Mohd. Zambri, 27, mengucapkan syabas pada penganjur kerana sekali lagi berjaya menganjurkan pameran berprestij tersebut.
“Syarikat saya menganjurkan percutian ke Langkawi untuk menghadiri LIMA dan saya rasa ia sangat berbaloi kerana pelbagai perkara baharu dan pengalaman yang baik diterima kami semua.
“Syabas pada LIMA’25 kerana mampu membawa lebih banyak syarikat tempatan untuk menyertai penganjuran pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN









