SEPANG: Lima anggota polis termasuk dua berpangkat Sarjan dan tiga berpangkat Koperal ditahan kerana bersekongkol dengan sindiket kes curi kabel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur dan Selangor itu adalah antara 16 suspek yang ditahan terbabit dalam sindiket itu.
Beliau berkata, kesemua anggota polis itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan selepas ditangkap pada 22 Mei lalu di beberapa lokasi di Cheras dan Kajang.
“Siasatan mendapati, anggota polis itu terbabit membocorkan maklumat operasi rondaan dan pencegahan kepada sindiket terutama di lokasi kecurian kabel.
“Maklumat itu mereka perolehi daripada jabatan terutama membabitkan laluan dan jalan yang kurang rondaan oleh pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, selain lima penjawat awam ini, sindiket ini turut mendapatkan kerjasama daripada ‘orang dalam’ iaitu masing-masing pegawai teknikal dan pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat yang dilantik oleh Telekom Malaysia (TM).
Hussein berkata, kumpulan sindiket ini mendapat tunjuk ajar daripada dua kakitangan tersebut bagi memotong kabel dan mengelak siren amaran berbunyi.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai telah bergiat aktif sejak setahun lalu dikendalikan oleh dua perancang utama masing-masing mempunyai 36 dan 29 kes jenayah lampau termasuk kes dadah.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini telah melakukan 23 transaksi penjualan kabel di kedai lusuh di sekitar Semenyih dengan anggaran jualan sebanyak RM682,183.
“Kita percaya sindiket curi kabel ini telah melakukan lebih daripada 23 kes kecurian,” katanya.
Katanya, kejayaan menumpaskan keseluruhan anggota sindiket ini bermula susulan penahanan lapan suspek dalam kes curi kabel di Jalan Jati, Kampung Desa Putra, Sungai Merab pada 19 Mei lalu.
Jelasnya lagi, beberapa barangan turut dirampas termasuk sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah kereta jenis Proton Perdana, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso Canter bersama 1.2 tan besi dan kelengkapan memotong besi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Sementara itu, Hussein berkata, kes kecurian membabitkan kabel TM dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kuala Lumpur serta Selangor adalah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara.
Menurutnya, statistik kecurian kabel di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja adalah sebanyak 208 kes bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. – UTUSAN