PETALING JAYA: Kenyataan Lawyers For Liberty (LFL) berhubung permohonan imuniti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengelirukan dan cuba untuk menanam persepsi terhadap rakyat.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, permohonan yang difailkan Anwar ke Mahkamah Persekutuan adalah satu proses sah di sisi undang-undang.
Kata beliau, permohonan imuniti itu untuk mendapatkan tafsiran terhadap persoalan perundangan yang kompleks dan signifikan khususnya melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan.
“Tidak ada dalam permohonan tersebut sebarang cubaan untuk mendapatkan kekebalan mutlak.
“Sebaliknya, persoalan yang dibawa ialah sama ada tindakan sivil seperti ini boleh mengganggu kecekapan seorang Perdana Menteri dalam melaksanakan fungsi eksekutif negara.
“Ini adalah satu pertimbangan yang wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, LFL menggesa Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk campur tangan dalam permohonan Anwar itu.
Pengarahnya, Zaid Malek, menyifatkan persoalan yang dikemukakan oleh barisan peguam baharu Anwar minggu lalu dalam permohonan mereka berhubung saman sivil serangan seksual yang difailkan oleh bekas pembantunya, Mohammad Yusoff Rawther sebagai tidak masuk akal.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata, kenyataan LFL tidak bertanggungjawab kerana menyamakan menyamakan permohonan perundangan tersebut dengan autoritarianisme.
“Di negara-negara yang menjunjung demokrasi, soal kekebalan kelayakan sering dibincangkan untuk mengimbangi antara keperluan pentadbiran negara dan hak individu.
“Perdana Menteri bukan berada di atas undang-undang, tetapi beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara,” jelasnya.
Beliau berkata, sistem kehakiman negara berfungsi dengan telus dan bebas untuk mendengar serta membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi serta tekanan media.
“Saya menyeru semua pihak agar menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak menyalah guna ruang undang-undang demi membina naratif politik. Serahkan kepada mahkamah untuk menilai.
“Negara ini telah melalui terlalu banyak episod manipulasi perundangan demi kepentingan politik. Segala pertikaian wajar diselesaikan melalui saluran perundangan, bukan dengan manipulasi emosi rakyat,” katanya.-UTUSAN