Letak harga ubat sebagai harga kawalan

Letak harga ubat sebagai harga kawalan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meletakkan harga ubat sebagai harga kawalan bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah sedia ada yang hanya mewajibkan pemaparan harga ubat yang dilaksanakan kerajaan masih tidak memadai.

Katanya, pengguna hanya diberi pilihan untuk membuat perbandingan harga, namun realitinya ramai yang tidak mengetahui hak mereka dan tiada saluran jelas untuk membuat aduan jika berlaku penindasan harga.

“Harga ubat sekarang tidak dikawal. Hanya perlu dipamerkan sahaja. Akibatnya, terdapat ruang untuk pihak tertentu mengambil kesempatan dengan meletakkan harga melampau. Akhirnya pengguna yang teraniaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bermula 1 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan, selaras dengan pelaksanaan peraturan baharu yang bertujuan meningkatkan ketelusan serta membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.

Langkah ini dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), dengan matlamat meningkatkan ketelusan dalam urus niaga serta membolehkan pengguna membuat perbandingan harga yang lebih mudah.

Mengulas mengenai caj konsultasi, Yusrizal berkata, isu itu juga perlu diberi perhatian kerana ia turut memberi tekanan kewangan kepada pengguna yang memerlukan khidmat rawatan segera.

“Selama ini kita diuar-uarkan kononnya caj konsultasi tidak pernah naik sejak 30 tahun lalu. Tapi pada hakikatnya, dahulu pesakit masih boleh mendapatkan khidmat nasihat doktor secara percuma untuk kes-kes ringan.

“Sekarang, caj minimum pun RM50, malah ada yang mengenakan sehingga RM150 hanya untuk sesi penerangan penyakit,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, isu harga ubat perlu ditangani oleh agensi yang benar-benar bebas dan tidak mempunyai kepentingan dalam industri perubatan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merupakan agensi paling sesuai untuk mengawal selia harga ubat kerana mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menetapkan harga barangan keperluan asas.

“KPDN lebih neutral dan tidak terlibat secara langsung dengan golongan profesional perubatan.

“Ini penting agar kawalan harga ubat dapat dilaksanakan secara telus dan adil tanpa tekanan daripada mana-mana pihak berkepentingan,” katanya.

Saravanan berkata, walaupun Kementerian Kesihatan memainkan peranan penting dalam aspek penguatkuasaan dan pemantauan perkhidmatan kesihatan, pengawalan harga lebih wajar dipertanggungjawabkan kepada KPDN bagi mengelak konflik kepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN