KOTA BHARU: Kawalan sempadan Malaysia-Thailand negeri ini terus diperketatkan dalam usaha membendung kemasukan lembu-lembu seludup negara jiran yang dibimbangi terkena jangkitan antraks sekali gus boleh membawa maut kepada orang ramai.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kebimbangan itu berasas selepas Thailand merekodkan satu kematian akibat jangkitan antraks telah direkodkan pada 1 Mei lalu.
“Bila masuk secara haram (seludup) lembu-lembu ini tidak menjalani proses kuarantin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Jadi kita tidak dapat periksa (penyakit) membuatkan kita risau sama ada haiwan itu mempunyai penyakit atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya menjangkakan aktiviti penyeludupan lembu meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi untuk tujuan ibadah korban kerana harganya murah dan permintaan tinggi haiwan tersebut.
“Situasi itu menyebabkan orang ramai sanggup mengambil risko memilih harga murah berbanding faktor keselamatan,” katanya.
Katanya, setakat ini hampir 20 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok telah dikenal pasti sebagai lokasi penyeludupan lembu bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli.
Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 390 ekor lembu dan 25 kerbau seludup telah berjaya dirampas pihak berkuasa sempadan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).-UTUSAN










