BUKIT MERTAJAM : Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan selepas dia disyaki cuba mengintai pengguna tandas wanita di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, susulan penahanan itu, satu permohonan reman akan dibuat terhadap suspek di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, esok.
Terdahulu, Helmi berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular di aplikasi X menunjukkan suspek terbabit memasuki dan mengintai dalam tandas wanita berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.21 pagi pada 5 Mei lalu di tandas wanita yang memang terletak di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya.
“Kita juga telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian terbabit dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya di sini, hari ini.
Dalam rakaman video berkenaan, suspek dilihat masuk ke tandas wanita tersebut sebelum merangkak untuk mengintai dari bahagian bawah pintu tandas.
Dia bagaimanapun tergesa-gesa keluar dari situ selepas menyedari kelakuan tidak senonohnya itu berjaya dikesan oleh kru stesen minyak terbabit.-UTUSAN