Suspek bom stesen minyak didakwa lolos ke Malaysia

Suspek bom stesen minyak didakwa lolos ke Malaysia

PIHAK berkuasa Thailand menahan suspek dipercayai terlibat dalam pengeboman sebuah daripada 11 stesen minyak di Thailand. – IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sebahagian daripada kumpulan yang mengebom lima stesen minyak di Narathiwat diperca­yai melarikan diri ke Malaysia selain bersembunyi di kawasan pergunungan dan hutan berhampiran sempadan.

Sumber keselamatan berkata, salah seorang daripada dua suspek yang ditahan kelmarin didapati membuat persiapan untuk melarikan diri ke Malaysia semasa serbuan dijalankan di Mukim Tha Saap, daerah Mueang, Yala.

Katanya, hasil soal siasat awal oleh pasukan khas Bahagian Siasatan Polis Wilayah Yala mendapati, suspek berusia 39 tahun sedang membuat persediaan untuk melarikan diri ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Siasatan juga mendedahkan sesetengah pelaku pengeboman lima stesen minyak di Wilayah Narathiwat turut terbabit dalam rompakan kedai emas di Su­ngai Golok pada 5 Oktober tahun lalu.

Dalam rompakan itu emas bernilai lebih RM4 juta dilarikan.

“Hasil siasatan mendapati pelaku serangan bom itu dibahagikan kepada lima kumpulan dengan setiap satu terdiri daripada empat hingga enam suspek berpakaian gelap, memakai topeng muka dan bersenjata api.

“Kumpulan yang mengebom dan membakar stesen minyak di Daerah Cho Airong serta Sungai Golok mempunyai kaitan de­ngan rompakan kedai emas pada Oktober tahun lalu,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sumber itu berkata, tiga lagi kumpulan penyerang di Rangae, Chanae dan Waeng dikenal pasti pernah terlibat dalam rompakan kedai runcit, membakar kenderaan dan mengebom loji janakuasa biojisim.

Katanya, hasil siasatan dan pengumpulan bukti di lima lokasi kejadian mendapati alat letupan buatan sendiri yang digunakan dimasukkan dalam bekas pemadam api yang setiap satunya seberat 20 kilogram.

Ujarnya, dua bom dengan sistem masa dan alat kawalan jauh diletakkan di pelbagai tempat di stesen minyak itu termasuk di kedai serbaneka, pam dan lori tangki bertujuan mencetus kerosakan teruk, bukan menyebabkan kematian.

Sumber itu juga memaklum­kan dalam kejadian di tiga wi­layah itu, sembilan individu, ter­masuk tujuh orang awam ce­dera dan masih dirawat di Hospital Daerah Waeng (Nara­thiwat), Kapho (Pattani) serta Kabang (Yala).

“Secara ringkas, maklumat awal kerosakan harta benda menunjukkan bahawa 11 perniagaan terjejas, termasuk 11 bangunan stesen minyak, tiga restoran, kedai serbaneka (9), kedai kopi Amazon (2), bangunan pejabat (2), lori tangki (2), kereta (3) dan motosikal (2),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN