Lelaki terselamat, kereta diserang gajah liar di Gerik

Toyota Vios remuk dipijak gajah, pemandu terselamat

KEADAAN kereta Toyota Vios yang rosak teruk selepas diserang gajah liar di Kilometer 11, JRTB Jeli-Gerik di Gerik semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang lelaki terselamat selepas kereta yang dipandunya diserang sekawanan gajah liar di Kilometer 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian menimpa mangsa berusia 39 tahun itu pada pukul 11.36 malam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.15 malam ketika lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Vios itu dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah ternampak sekawanan gajah liar melintas jalan. Mangsa kemudian memberhentikan kenderaan dan mematikan lampu.

“Bagaimanapun, bunyi hon kenderaan dari arah belakang dipercayai menyebabkan tiga ekor gajah menghampiri kereta lelaki itu. Mangsa yang dalam keadaan panik telah keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian tersebut menyebabkan kereta lelaki tersebut mengalami kerosakan di semua bahagian namun mangsa dilaporkan tidak cedera.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gerik setelah kumpulan gajah tersebut beredar dari lokasi kejadian,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video sebuah kereta mengalami kerosakan teruk selepas diserang gajah liar berhampiran Tugu Peringatan JRTB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN