Lelaki miliki 14 rekod jenayah lawan arus, rempuh 4 kenderaan

Lelaki miliki 14 rekod jenayah lawan arus, rempuh 4 kenderaan di lebuh raya

KENDERAAN dipandu suspek merempuh tiga buah kereta serta sebuah lori yang berada di lebuh raya sebelum berjaya ditahan di Kilometer 216.8 PLUS di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dengan 14 rekod jenayah nekad melarikan diri daripada ditahan polis dalam insiden kejar-mengejar bermula dari Taman Teknologi Cheng hingga ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia 29 tahun itu memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan taman perindustrian berkenaan sebelum menyedari kehadiran kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan IPD Alor Gajah yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah sekitar pukul 4.30 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pada mulanya anggota polis cuba melakukan pemeriksaan ke atas suspek, namun lelaki itu tidak memberikan kerjasama dengan memecut kenderaannya dan melarikan diri.

“Suspek bertindak agresif dengan memecut kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cuba meloloskan diri melalui beberapa jalan utama sebelum merempuh palang Plaza Tol Ayer Keroh.

“Suspek turut memandu secara melawan arus ke arah Kuala Lumpur dan merempuh tiga buah kereta serta sebuah lori yang berada di lebuh raya sebelum berjaya ditahan di Kilometer 216.8 PLUS.

“Semakan mendapati lelaki tersebut berasal dari Teluk Intan, Perak dan mempunyai 14 rekod jenayah serta enam rekod berkaitan dadah,” katanya.

Tambah Dzulkhairi, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemukan beberapa barangan antaranya segugus kunci, 44 batang kabel, sebuah telefon bimbit dan beg sandang.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya