TAIPING: Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Simpang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.55 petang semalam mengenai penemuan mayat lelaki terbabit.
Menurutnya, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping ke lokasi penemuan mayat.
Beliau berkata, polis menahan seorang suspek berusia 40 tahun tidak sampai 24 jam selepas kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai telah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tikaman senjata tajam.
“Polis berjaya merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut daripada suspek yang ditahan.
“Suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Nasir, motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN