PORT DICKSON: Seorang lelaki cedera dikaki selepa digigit anjing dalam kejadian di Taman Lukut Makmur, di sini, petang semalam.
Menurut mangsa, Wan Ahmad Wan Endot, 27, ketika kejadian, dia mahu bertemu rakannya di sebuah rumah yang dijadikan inap desa di taman perumahan itu.
“Saya berjalan kaki dari sebuah homestay lain, anjing itu yang berada di hadapan pagar sebuah rumah tiba-tiba mengejar saya dan saya terus berlari kembali ke homestay namun telah digigit di bahagian kaki.
“Disebabkan kecederaan ini, saya telah pergi mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan diberikan suntikan terlebih dahulu bagi mengelakkan jangkitan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ujar Wan Ahmad lagi, dia baharu sahaja seminggu menetap di homestay berkenaan bersama enam lagi rakan-rakannya memandangkan mereka bekerja sementara di sebuah stesen janakuasa berhampiran.
Menurutnya, pemilik homestay pernah memaklumkan terdapat banyak anjing liar di kawasan taman perumahan tersebut serta banyak juga kes penyewa homestay dikejar anjing.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri untuk melupuskan anjing liar, beliau berkata, kaedah pelupusan bukannya itu dibuat mengikut tatacara yang betul oleh pihak berwajib.
“Isunya sekarang terlampau banyak anjing liar berkeliaran dan kita mahu mengawalnya. Kita harapkan semua pihak memberikan kerjasama demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Umum mengetahui masyarakat Cina tahu dalam menguruskan anjing tetapi masyarakat Melayu takut… ini persepsi.
“Mahu bela (anjing) tiada masalah tetapi apabila di luar dengan mengganggu ketenteraman dan menimbulkan kacau ganggu, itu yang menjadi masalah,” katanya pada sidang akhbar di sini Seremban hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan bersetuju supaya langkah melupuskan diambil bagi menangani isu anjing liar di kawasan penempatan majoriti orang Melayu dan Islam.
Aminuddin berkata, langkah tersebut perlu diambil susulan banyaknya aduan diterima daripada penduduk mengenai isu anjing liar. – UTUSAN