MELAKA: Penduduk Blok E Rumah Pangsa Peringgit di sini mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengurusan perumahan tampil menyelesaikan masalah bau busuk berpunca daripada belasan ekor kucing yang dibela oleh seorang penghuni flat berkenaan.
Masalah yang berlarutan lebih lima tahun itu bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk, malah turut menjejaskan aktiviti harian termasuk perniagaan rawatan kecantikan dari rumah serta risiko kesihatan awam.
Penduduk, Jamilah Abu Amin, 45, berkata, dia perlu melalui situasi itu setiap hari kerana rumahnya hanya selang satu unit dari kediaman terlibat, justeru menjadi mangsa bau hancing dan najis kucing.
Menurutnya, lebih mengecewakan aduan telah dibuat berkali-kali kepada pihak pengurusan perumahan dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Anak saya sampai loya hendak makan, malah bila angin bertiup, bau busuk sampai ke ruang tamu. Setiap pagi saya kena cuci lantai luar rumah, kadang sampai dua kali sebab penuh dengan najis dan air kencing kucing.
“MBMB pernah naik ke rumah itu tapi mereka kata tidak boleh ambil tindakan sebab kucing dikurung dalam rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Haliza Hashim, 57, pula menyifatkan masalah itu semakin teruk apabila pemilik rumah didakwa membawa lebih banyak kucing ke dalam rumah selepas aduan dibuat.
Jelasnya, aduan yang dibuat orang ramai pula tidak membuahkan hasil apabila pihak pengurusan perumahan dan MBMB saling menuding jari.
“Saya naik tangga hari-hari rasa macam lalu tepi longkang, bau busuk dari bilik air pun naik ke bilik tidur, pelik macam mana dia boleh tidur, makan dalam rumah yang penuh kucing macam itu.
“Kami ini pembayar rumah, bukan duduk percuma, aduan kami langsung tidak diendahkan, bila tanya, MBMB kata perumahan punya kerja, perumahan pula salahkan MBMB, akhirnya kami terus terperangkap dalam masalah ni,” katanya.
Menurut Haliza, dia yang sudah menetap di situ sejak 1996 mendakwa, pernah mengalami insiden najis kucing jatuh atas kepala semasa tinggal di tingkat satu.
Jelasnya, tiada masalah jika ada penghuni ingin memelihara kucing tetapi soal pengurusan kebersihan perlu dititik-beratkan. – UTUSAN