GEORGE TOWN: Lebih 200 pekebun durian di negeri ini disaran mendaftar segera dengan Jabatan Pertanian untuk menggunakan teknologi ‘Track and Trace’ bagi membanteras lambakan durian palsu dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ketulenan buah durian dari Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, teknologi itu dibangunkan dengan kerjasama MIMOS Berhad yang berpengalaman dalam sistem pengesanan dan pernah mengaplikasikannya dalam program vaksin bersama Kementerian Kesihatan (KKM).
“Melalui sistem ini, setiap durian akan dilengkapi dengan kod QR yang ditag dari ladang hingga ke tangan pembeli. Pengguna pula hanya perlu mengimbas untuk mengesahkan asal-usul durian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Fahmi, setakat ini, kira-kira 50 hingga 60 pekebun sudah menyatakan komitmen mereka untuk menggunakan sistem itu manakala 20 pekebun berskala besar telah pun mendaftar.
“Tagging sudah sedia dan pelaksanaan bermula serta-merta pada 1 Jun ini. Jadi, kita akan bantu pekebun untuk mendapatkan tag ini secepat mungkin,” katanya yang memberitahu, pendaftaran boleh dibuat melalui Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau pejabat Exco.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga mencadangkan agar penggunaan sistem tagging ini dijadikan prasyarat kepada semua pekebun sebelum dibenarkan menjual durian.
“Jika sistem ini tidak diguna, kemudahan seperti bantuan, promosi dan penglibatan dalam program kerajaan akan diberi keutamaan kepada pekebun yang mematuhi pelaksanaan sistem ini,” katanya.
Jelas Fahmi, pesta durian peringkat negeri yang akan bermula 23 Jun ini juga mewajibkan semua peserta menggunakan sistem tagging berkenaan bagi memastikan kualiti dan keaslian durian terjamin.
“Penggunaan teknologi ini bukan sahaja menjaga kepentingan pengguna supaya membeli dengan harga berbaloi dan rasa yang sedap, malah membantu pekebun membina reputasi serta pasaran lebih luas termasuk eksport ke China,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pekebun yang ingin menyertai program tersebut boleh berbuat demikian dengan menyediakan maklumat pemilikan tanah yang sah serta dokumen berkaitan semasa pendaftaran.
“Selain itu, permohonan tagging ini juga perlu dibuat sendiri oleh pekebun dan bukannya menerusi orang tengah,” katanya. – UTUSAN