PUTRAJAYA: Lebih 200 doktor dan pekerja kesihatan berkumpul di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra di sini, pagi ini bagi membantah pelaksanaan peraturan yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Difahamkan, mereka mula berhimpun sejak pukul 9.30 pagi tadi.
Media juga difahamkan, wakil kumpulan itu dijangka menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung bantahan terbabit.
Tinjauan wartawan mendapati, kesemua peserta perhimpunan memakai baju dan pakaian serba hitam serta masing-masing membawa sepanduk, kain rentang dan plakad.
Beberapa anggota polis turut kelihatan bagi mengawal perhimpunan dan perarakan.
Terdahulu, mereka berhasrat untuk berarak dari Kementerian Kesihatan (KKM) ke PMO, namun tindakan itu dibatalkan kerana ada dalam kalangan peserta yang sudah berusia.
Polis sebelum ini mengesahkan sudah menerima notis pemberitahuan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung rancangan untuk mengadakan perarakan berhubung bantahan itu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata, polis dalam proses meneliti permohonan berkenaan.
KKM melaksanakan peraturan baharu bermula 1 Mei lalu yang mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan, dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Langkah berkenaan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga.
Bagaimanapun, MMA menyifatkan arahan itu sebagai tidak praktikal kerana harga ubat kerap berubah bergantung kepada kos pembekalan dan faktor pasaran.
Mereka bimbang maklumat harga yang dipaparkan boleh mengelirukan pesakit dan menimbulkan salah faham.-UTUSAN