LCS pertama jalani ujian, diserahkan tahun depan

LCS pertama jalani ujian, diserahkan tahun depan

ADLY Zahari ketika berucap pada sidang akhbar Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem, di sini hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama kini berada pada fasa akhir dan sedang menjalani ujian di pelabuhan dan laut sebelum diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pertahanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kapal itu telah siap dibina dan bakal memenuhi keperluan TLDM menjelang tahun depan, selari dengan jadual dan perancangan kerajaan.

“Kita tahu bahawa LCS pertama telah dimuktamadkan pembinaannya dan sekarang berada dalam proses ujian di pelabuhan dan juga ujian di laut.

“Kita harap menjelang tahun hadapan, kita akan dapat memenuhi keperluan LCS kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem di Sekolah Kebangsaan (SK) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, hari ini.

Pada Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan berpuas hati terhadap tahap kemajuan pembinaan lima buah LCS TLDM, meskipun mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek itu amat penting kepada keselamatan negara, selain melibatkan jumlah perbelanjaan yang besar iaitu mencecah RM11 bilion.

Tambah Adly, selain LCS, kerajaan juga komited menambah aset-aset laut melalui kerjasama strategik dengan Turki bagi pembinaan kapal misi pesisir (LMS) demi memastikan kesiap-siagaan pertahanan berada pada tahap tertinggi.

“Komitmen kerajaan bukan sahaja daripada segi jumlah aset, tetapi juga pada aspek teknologi tinggi agar ia benar-benar mampu menjaga kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Adly berkata, Malaysia telah bersedia menerima kehadiran delegasi antarabangsa sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang bakal berlangsung 20 hingga 24 Mei ini.

“Seperti yang kita tahu, LIMA bukan sahaja melibatkan promosi sektor pertahanan tetapi turut memainkan peranan penting dalam diplomasi ketenteraan.

“Ia juga memberi ruang kepada negara untuk memperlihatkan kesiap-siagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelbagai aspek pertahanan, selain memperkukuh kerjasama dua hala bersama negara lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya