Laungan Allahuakbar, tangisan kedengaran di lokasi kejadian

Laungan Allahuakbar, tangisan kedengaran di lokasi kejadian

ANGGOTA FRU membantu rakan mereka selepas trak dinaiki terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Bunyi dentuman kuat, laungan Allahuakbar dan tangisan menyayat hati, antara keadaan berlaku sejurus tragedi nahas membabitkan dua lori yang mengorbankan sembilan anggota Pasu­kan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini semalam.

Saksi, Noor’ Ain Asyiqin Abdul Khalel, 39, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, situasi yang pada awalnya panik bertukar sayu apabila rakan-rakan sepasukan cuba menyelamatkan mangsa.

“Saya dengar rintihan, jeritan dari rakan-rakan mangsa. Rasa sebak bila dengar mereka teriak dan jerit Allahuakbar.

“Situasi sangat kelam kabut. Jalan mula sesak, tiada siapa dapat kawal lalu lintas waktu itu,” katanya ditemui di lokasi kejadian semalam.

Katanya, sewaktu kejadian melibatkan kenderaan FRU de­ngan lori muatan batu itu berlaku, dia sedang memasak di restorannya yang terletak hanya 100 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, lori muatan batu terbabit yang menuju ke arah Teluk Intan, tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum bertembung dengan lori FRU yang datang dari arah bertentangan.

Seorang saksi, Airul Amri Abd. Hamid, 31, tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian berlaku berkata, bahagian depan kenderaan FRU remuk teruk dengan pemandu dan kelindannya tersepit.

Orang awam yang ada di lokasi kejadian hanya mampu membantu sekadar termampu sebelum bomba dan ambulans sampai.

Katanya, situasi pilu dan menyedihkan melihat mangsa yang merintih dan cedera selain darah yang mengalir atas jalan raya.

“Ini kejadian paling tragik yang pernah saya lihat dan jalan ini sememangnya kerap berlaku kemalangan berikutan ada simpang keluar masuk ke jalan utama.

“Sebelum ni pun ada kemalangan, tapi jarang melibatkan kematian. Kali ini betul-betul tragik kerana ia mengorbankan ramai nyawa orang tidak berdosa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN