Kuala Lumpur antara bandar 'slow travel' terbaik di Asia

Kuala Lumpur antara bandar ‘slow travel’ terbaik di Asia

slow travel
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform pelancongan digital Agoda telah mengumumkan senarai destinasi terbaik di Asia untuk menikmati percutian dengan santai (slow travel), yang mana Kuala Lumpur berjaya menduduki senarai sepuluh bandar paling ideal untuk pelancong meneroka destinasi percutian mereka dengan lebih santai.

Walaupun sesetengah pelancong lebih menggemari jadual perjalanan padat yang memuatkan sebanyak mungkin aktiviti dalam masa yang singkat, terdapat juga kalangan lain yang ingin menginap lebih lama untuk menghayati keunikan tarikan tempatan.

“Slow travel’ membuka ruang untuk para pelancong menikmati keindahan sesebuah tempat serta mengenali budaya, makanan, dan penduduknya dengan lebih dekat.

Berdasarkan data Agoda dari sembilan pasaran di Asia, penggemar “slow travel’ menempah penginapan paling lama di Rayong (Thailand), Kalegowa (Indonesia), Seoul (Korea Selatan), Tokyo (Jepun), Nha Trang (Vietnam), Pulau Boracay (Filipina), Taipei (Taiwan), Kuala Lumpur (Malaysia), dan Chennai (India).

Di Malaysia, Kuala Lumpur dan Langkawi telah melonjak ke dua tempat teratas bagi destinasi untuk tempoh penginapan yang lebih panjang, diikuti oleh Johor Bahru, yang berjaya menduduki tiga tempat teratas manakala Pulau Perhentian, yang menduduki tempat pertama tahun lepas, telah terkeluar dari senarai.

Sementara itu, pelancong dari Malaysia yang melancong ke luar negara menghabiskan masa paling lama di Tokyo, Jepun untuk pengalaman percutian yang lebih santai.

Dari pantai yang tenang hingga ke bandar yang sibuk, destinasi-destinasi ini membuktikan bahawa kadangkala, cara terbaik untuk bercuti adalah secara santai.

1. Rayong, Thailand

Pantai Rayong yang indah adalah destinasi ideal untuk mencari kedamaian dan ketenangan. Dengan pantainya yang bersih, ia menawarkan percutian yang sempurna dari kesibukan. Pengunjung boleh menikmati makanan laut segar terus dari bot nelayan, meneroka pulau seperti Koh Samet, atau sekadar beristirahat di bawah pokok kelapa.

Suasana Rayong yang tenang dan indah menjadikan destinasi percutian ini pilihan ideal untuk mereka yang ingin
berehat dan menikmati keindahan alam semula jadi.

2. Kalegowa, Indonesia

Kalegowa adalah umpama permata tersembunyi yang menawarkan pelancong untuk memperlahankan rentak dan menikmati keindahan pemandangan serta warisan budaya yang kaya. Kawasan ini terkenal dengan sawah padi yang menghijau, seni bina tradisional Bugis, dan keramahan penduduknya. Pengunjung boleh meluangkan masa meneroka pasar tempatan, menikmati masakan Indonesia yang autentik, atau menjelajahi denai hutan yang indah.

Keunikan Kalegowa terletak pada kesederhanaannya, menjadikannya sebuah destinasi yang
sesuai bagi mereka yang mencari pengalaman percutian yang lebih perlahan dan bermakna.

3. Seoul, Korea Selatan

Walaupun Seoul lazimnya dikenali sebagai metropolis yang sibuk, ia juga merupakan sebuah destinasi ‘slow travel’ yang popular. Pelancong boleh menikmati percutian yang santai dengan bersiar-siar di perkampungan bersejarah Bukchon Hanok, berehat di kedai teh tradisional, meneroka tarikan tersembunyi di lorong-lorong kecil, serta menikmati barbeku Korea. Seoul menawarkan pelbagai cara untuk berehat dan meneroka dengan tenang.

4. Tokyo, Jepun

Dengan gabungan sejarah, inovasi, dan budaya yang tiada penghujungnya, tidak hairanlah pelancong boleh menghabiskan banyak hari di Tokyo dan masih menemui banyak lagi untuk dilihat dan dilakukan. Sama ada kemeriahan kota di Shibuya, suasana tenang kejiranan Yanaka, atau kepelbagaian pilihan makanan, daya tarikan Tokyo yang beraneka memastikan sentiasa ada sesuatu yang baharu untuk diterokai. Ini menjadikannya destinasi yang ideal bagi pelancong yang ingin meneroka mengikut rentak mereka sendiri.

5. Nha Trang, Vietnam

Dengan pantai yang indah dan suasana yang tenang, Nha Trang merupakan destinasi ideal bagi pencinta pantai yang ingin berjemur di bawah matahari dan bersantai di tepi laut. Selain aktiviti pantai, Nha Trang juga menawarkan pelbagai tarikan lain, termasuk meneroka Menara Po Nagar Cham yang bersejarah serta menikmati pengalaman menyegarkan dengan mandi lumpur. Suasana damai di Nha Trang menjadikannya tempat yang sempurna untuk ‘slow travel

6. Pulau Boracay, FIlipina

Pantai berpasir putih dan perairan jernih di Boracay adalah tempat ideal bagi mereka yang ingin berehat, bersantai, dan menikmati keindahan pantai. Selain aktiviti di tepi pantai, Boracay juga menawarkan pelbagai pengalaman santai, termasuk meneroka kehidupan marin yang berwarna-warni melalui snorkeling dan menyelam, atau bersiar-siar dengan perahu paraw tradisional sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Suasana pulau yang mesra serta pemandangan yang menakjubkan menjadikannya destinasi yang sempurna untuk pelancong beristirahat dengan tenang.

7. Taipei, Taiwan

Taipei menawarkan gabungan kemodenan dan tradisi, dengan pasar malam, mata air panas, serta laluan pendakian indah yang menggalakkan para pengunjung untuk menikmati percutian mereka dengan lebih santai. Penggemar ‘slow travel’ boleh bersiar-siar di jalan-jalan bersejarah Dadaocheng, menikmati hidangan tempatan se perti xiao long bao, atau melawati Taman Negara Yangmingshan yang damai. Penduduk Taipei yang mesra serta pengalaman budaya yang kaya menjadikannya sebuah bandar yang patut diterokai secara perlahan, satu
pengalaman pada satu masa.

8. Kuala Lumpur, Malaysia

Penggemar ‘slow travel’ boleh meluangkan masa meneroka tarikan utama Kuala Lumpur yang meriah, seperti Little India dan Jalan Petaling.

Keindahan seni bina ikonik bandar ini, termasuk Menara Berkembar Petronas dan Bangunan Sultan Abdul Samad, menawarkan banyak momen yang sesuai untuk dirakam.

Peminat makanan boleh menikmati pengalaman santai di gerai makanan atau restoran mewah, mencuba pelbagai hidangan termasuk nasi lemak dan juga char kway teow. Gabungan tradisi dan kemodenan Kuala Lumpur menjadikannya destinasi yang menarik bagi mereka yang ingin menginap lebih lama untuk menikmati pengalaman di kota ini sepenuhnya.

9. Chennai, India

Dengan warisan yang kaya, landskap seni yang meriah, dan keindahan tepi lautnya, Chennai merupakan destinasi ideal bagi pelancong yang ingin memperlahankan rentak perjalanan dan menyelami budaya India Selatan. Pengunjung boleh meneroka kuil-kuil bersejarah, bersiar-siar di sepanjang Pantai Marina, atau menikmati persembahan muzik klasik Karnatik.

Dengan keramahan penduduknya dan kekayaan budayanya, Chennai memberikan pengalaman yang bermakna kepada sesiapa yang meluangkan masa untuk menerokanya.

Fabian Teja, Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei di Agoda, berkata, “Seiring dengan kehidupan yang bergerak pantas, semakin ramai pelancong yang menerima idea untuk memperlahankan rentak untuk benar-benar menghayati keindahan sesebuah tempat dan bukannya sekadar melawatinya dengan sepintas lalu.

“Banyak destinasi percutian di Malaysia menawarkan pelbagai tarikan warisan dan budaya yang kaya, sesuai untuk diterokai dengan tidak tergesa-gesa.

“Di Agoda, kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini dengan membawakan tawaran hebat untuk penginapan dan aktiviti yang memudahkan para pelancong untuk menikmati percutian mereka dengan lebih santai.”

Dengan adanya lebih lima juta tempat pilihan penginapan percutian, 130,000 laluan penerbangan, dan 300,000 aktiviti liburan, Agoda memudahkan anda untuk merancang percutian ’slow travel’ anda.

Lawati Agoda.com atau muat turun aplikasi mudah alih Agoda untuk mendapatkan tawaran terbaik bagi percutian yang lebih santai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN